‘Usah bersedih, perjuangan bina Malaysia bersih, stabil tidak terhenti’ – Radzi

0
3

AHLI Parlimen Putrajaya, Datuk Dr Radzi Jidin meminta pengundi Perikatan Nasional terus bergerak meneruskan perjuangan dan percaya ada hikmah disebalik kegagalan membentuk kerajaan selepas Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).

Radzi berkata, apa yang utama gelombang sokongan kepada PN ketika PRU15 Sabtu lalu adalah luar biasa.

Tegasnya, fakta juga sudah direkod seperti dinyatakan Tan Sri Muhyiddin Yassin bahawa PN telah mengemukakan Akuan Bersumpah daripada lebih 112 orang Ahli Parlimen yang memberi kepercayaan kepada Pengerusi PN itu dilantik sebagai Perdana Menteri.

“Ramai dalam kalangan sahabat penyokong Perikatan Nasional, menyatakan kesedihan mereka apabila Perikatan Nasional tidak dapat membentuk kerajaan.

“Ini termasuklah penjawat awam yang bersama-sama memberi dokongan kepada kami, khususnya di Putrajaya.

“Usah bersedih sahabat semua. Api perubahan dan kebangkitan rakyat ini akan terus kita semarakkan. Perjuangan membina Malaysia yang lebih gemilang berpaksikan prihatin, bersih dan stabil tidak akan terhenti hari ini,” katanya dalam hantaran Facebook, semalam.

Pengerusi Pakatan Harapan (PH), Datuk Seri Anwar Ibrahim selesai mengangkat sumpah jawatan Perdana Menteri ke-10 di hadapan Yang di-Pertuan Agong di Istana Negara, semalam.

Istiadat Pengurniaan Surat Cara Pelantikan dan Mengangkat Sumpah Jawatan dan Setia serta Sumpah Simpan Rahsia berlangsung di Balai Singgahsana Kecil, pada jam 5 petang.

Beliau kemudian menandatangani dokumen berkaitan sambil disaksikan Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Mohd Zuki Ali dan Ketua Hakim Negara, Tun Tengku Maimun Tuan Mat.

Ia sekali gus menamatkan teka-teki selepas lima hari Parlimen berada dalam situasi tergantung berikutan PRU15 pada Sabtu lalu, menyaksikan tiada mana-mana pihak berjaya mendapat majoriti 50 peratus daripada kerusi yang dipertandingkan. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here