PRESIDEN Umno, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi menegaskan perbezaan pegangan dalam konsep ketuhanan tidak sepatutnya menjarakkan menjarakkan hubungan sesama manusia.
Beliau berkata, Islam mengajar umatnya hormat kepada semua agama yang wujud di dunia hari ini, dan tidak membenci agama lain kerana tidak ada istilah paksaan dalam beragama.
“Cuma kita berbeza pegangan dan konsep ketuhanan sehingga manusia mempunyai pelbagai aliran dan cara penyembahan meskipun ia bukan perkara yang patut menjarakkan hubungan antara kita semua.
“Islam agama kasih sayang sentiasa menyeru dengan hikmah ke arah kebenaran.
“Kita tidak diajar oleh Nabi untuk memaksa manusia menerima dakwah Islam seperti persepsi setengah pihak di Barat terhadap tindakan Taliban di Afghanistan,” katanya menerusi Facebook.
Ahmad Zahid berkata demikian mengulas mengenai moral baik yang ditunjukkan rakyat Jepun dalam yang mengutip sampah selepas perlawanan Piala Dunia di stadium, yang tular baru-baru ini.
“Ia membuktikan setiap manusia anak Adam dilahirkan dan mempunyai fitrah yang murni seperti sukakan kebersihan meskipun mereka bukan beragama Islam.
Sementara itu, Ahmad Zahid berkata, krisis penubuhan kerajaan baru-baru ini menyebabkan rakyat khususnya peminat bola sepak tidak berpeluang menonton parlwanan Piala Dunia seperti selalu.
“Masa yang sudah lapang dan keadaan yang sudah agak tenang ketika ini sudah tentu dapat digunakan bersama rakan dan keluarga untuk kembali menonton aksi menarik Piala Dunia.
“Ia perkara yang ditunggu peminat bola sepak sedunia ialah Piala Dunia FIFA yang berlangsung setiap empat tahun sekali sejak penganjuran pertama pada 1930. Pasukan mana pilihan saudara saudari kali ini?,” katanya. – Malaysiapost

