Padang Serai: PN yakin tambah satu lagi kerusi

0
2

PAS menaruh keyakinan Perikatan Nasional (PN) bakal menambah satu lagi kerusi melalui Parlimen Padang Serai.

Pengarah Pilihan Raya PAS, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor berkata keyakinan bersandarkan sambutan hangat daripada penyokong gabungan itu pada penamaam calon pagi tadi.

“Pagi ini penamaan calon PRU15 bagi P017 Padang Serai. Alhamdulillah, sambutan tetap hangat. Tak luak langsung.

“Jom kita hantar seorang lagi wakil Perikatan Nasional ke Parlimen,” katanya menerusi hantaran di Facebooknya.

Ketika ini PN memenangi 73 kerusi Parlimen selepas Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) pada Sabtu lalu, namun masih belum cukup untuk membentuk kerajaan Persekutuan.

Proses penamaan calon bagi PRU15 Parlimen Padang Serai diadakan semula hari ini selepas proses pengundian yang sepatutnya diadakan 19 November lalu ditangguhkan oleh Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR).

SPR turut menetapkan proses sama diadakan di kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Tioman hari ini.

Pengundian di Parlimen Padang Serai ditangguhkan berikutan kematian calonnya sebelum hari mengundi iaitu M Karupaiya daripada Pakatan Harapan (PH).

Parlimen Padang Serai menyaksikan saingan persaingan enam penjuru.

Pegawai Pengurus Pilihan Raya Parlimen Padang Serai, Datuk Abdul Bari Abdullah, mengumumkan perkara itu selepas tempoh penamaan calon ditutup jam 10 pagi tadi.

Calon yang bertanding adalah Perikatan Nasional (PN), Datuk Azman Nasrudin; calon Barisan Nasional (BN) Datuk Sivarraajh Chandran dan calon Parti Pejuang, Hamzah Abdul Rahman.

Tiga lagi calon adalah Dr Mohamed Sofee Razak mewakili Pakatan Harapan (PH); calon Bebas, Sreanandha Rao dan Mohd Bakri Hashim mewakili parti Warisan. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here