KONGRES Kesatuan Pekerja di Dalam Perkhidmatan Awam (Cuepacs) berharap Perdana Menteri Malaysia ke-10 Datuk Seri Anwar Ibrahim dapat mengekalkan keharmonian dalam perkhidmatan awam supaya sistem penyampaian kepada rakyat diperkasakan lagi.
Presidennya, Datuk Adnan Mat, berkata beliau yakin kestabilan dalam pentadbiran kerajaan mampu meningkatkan sistem penyampaian perkhidmatan kepada rakyat dan ekonomi agar negara mampu mendepani cabaran yang mendatang.
“Penjawat awam akan terus berkhidmat dengan penuh profesional bagi memastikan dasar dan polisi yang dirancang oleh kerajaan dapat dinikmati rakyat,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Adnan berkata Cuepacs turut menzahirkan setinggi-tinggi penghargaan dan tahniah kepada Anwar yang juga Pengerusi Pakatan Harapan (PH) atas lantikan sebagai Perdana Menteri ke-10.
“Semoga kepimpinan Datuk Seri Anwar Ibrahim mampu membawa negara kembali stabil dan bergerak maju ke hadapan bagi menghadapi persekitaran ekonomi yang semakin mencabar ketika ini,” katanya.
Sementara itu, beliau meminta Anwar agar dapat berbincang dengan Ketua Setiausaha Negara (KSN) dan Ketua Setiausaha Kementerian (KSU) yang ada sebelum mengecilkan saiz Jemaah Menteri yang dijanjikannya ketika berkempen.
Menurutnya, perkara itu perlu bagi mengelakkan keputusan yang diambil kelak memberi kesan yang tidak baik kepada jentera pentadbiran kerajaan.
“Cuepacs juga tidak mahu keputusan terburu-buru mengganggu akan memberi kesan kepada dasar-dasar semasa yang sedang dilaksanakan penjawat awam terganggu.
“Sudah tentu ia memberi kesan kepada pencapaian atau sesetengah dasar itu akan tergantung tidak dapat mencapai hasil yang diingini,” katanya. – Malaysiapost

