Facebook sekat iklan antivaksin

0
3
This photo illustration taken on March 22, 2018 shows the Facebook logo on a smartphone in Taipei. / AFP PHOTO / SAM YEH (Photo credit should read SAM YEH/AFP/Getty Images)

[Global] FACEBOOK mengumumkan menyekat iklan yang dengan sengaja tidak menggalakkan orang ramai mendapatkan suntikan vaksin.

Memetik laporan AFP, pelopor media sosial itu berkata, keputusan tersebut dibuat susulan pihaknya mengutamakan amalan kepentingan pencegahan penyakit.

“Walaupun pakar kesihatan awam bersetuju kita belum lagi mempunyai vaksin Covid-19 yang diluluskan dan boleh diperoleh dalam waktu terdekat, ada beberapa langkah yang masyarakat boleh ambil untuk kekal sihat dan selamat,” kata syarikat itu menerusi kenyataan semalam.

Facebook turut mengharamkan maklumat salah dan palsu yang dikenal pasti institusi kesihatan awam seperti Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) dan Pusat Pencegahan dan Kawalan Penyakit (CDC).

Syarikat itu akan membenarkan iklan sama ada menggesa atau menghalang peraturan kerajaan berkaitan vaksinasi.

Facebook turut merancang untuk melancarkan kempen maklumat awam di Amerika Syarikat (AS) yang mendorong orang ramai mendapatkan vaksin untuk berdepan selesema bermusim.

Vaksin untuk merawat Covid-19 masih menjadi harapan dan kunci untuk mengatasi wabak berkenaan ketika beberapa makmal sedang berusaha membangunkan vaksin itu.

Gergasi teknologi itu sering dituduh menyokong pergerakan antivaksin menyebarkan fahaman salah.

Menurut pihak berkuasa kesihatan AS, jumlah kanak-kanak yang berjaya mencapai usia dua tahun tanpa vaksinasi mencecah lebih 0.9 peratus dalam kalangan mereka yang lahir pada 2011 dan 1.3 peratus bagi yang lahir pada 2015.

Jumlah permohonan untuk menolak vaksin juga meningkat pada 2017 hingga 2018 di AS untuk tahun ketiga berturut-turut.

Satu kajian utama dalam kalangan 650,000 kanak-kanak Denmark yang perkembangan mereka dipantau secara rapat selama lebih sedekad mendapati vaksin bagi beguk, campak dan rubela (MMR) tidak membawa sebarang risiko autism, bertentangan dengan teori yang diangkat aktivis antivaksin. – Malaysiapost