Ben Ibrahim
SEJAK 20 tahun lalu, kebanyakan penggemar politik dan pendokong UMNO sering mendakwa kononnya Pahang adalah kubu kuat Umno dan Barisan Nasional (BN).
Namun, jika dilihat kepada prestasi gabungan parti itu pula, dakwaan itu kurang tepat dan lebih sesuai dilabel sebagai mitos semata.
Di sebalik tsunami penolakan rakyat pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14), kerajaan Pahang diterajui BN dapat dipertahankan dengan jumlah kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) yang semakin merosot.
Dan sebenarnya, sejak 1999, jumlah kerusi DUN dikuasai BN di Pahang secara konsisten berkurangan dan jatuh ke tangan pembangkang.
Ketika pilihan raya umum pada April 1995, hanya satu kerusi DUN dimenangi pembangkang di Pahang melalui Leong Ngah Ngah (DAP) yang kini pengerusi DAP Pahang.
Jumlah pembangkang di DUN Pahang meningkat kepada lapan pada pilihan raya umum ke-10 susulan gelombang reformasi dicetuskan bekas timbalan perdana menteri, Anwar Ibrahim.
Enam kerusi dimenangi PAS dan masing-masing satu dimenangi DAP dan PKR.
Ketika itulah wujudnya Barisan Alternatif yang menawarkan pilihan kepada pengundi.
Namun, gelombang itu tidak kekal bertahan dan sokongan kepada pembangkang di Pahang kembali jatuh merudum menyaksikan hanya satu kerusi dapat dipertahankan pada pilihan raya umum ke-11.
Pembangkang di Pahang kembali mendapat empat kerusi DUN dalam pilihan raya umum ke-12, dua daripada DAP dan dua daripada PAS.
PRU-13 menyaksikan banyak kerusi tradisional Umno-BN di Pahang jatuh ke tangan pembangkang.
Dalam pilihan raya ini juga, pembangkang buat kali pertama memperoleh 12 kerusi DUN dengan DAP mendapat tujuh kerusi, tiga dimenangi PAS dan PKR mendapat empat kerusi DUN.
Walaupun Umno-BN Pahang masih mengekalkan majoriti dua pertiga, sepatutnya mereka sudah menyedari ‘signal’ daripada pengundi.
Keyakinan berterusan pimpinan Umno-BN yang merasakan mereka masih berada dalam zon selesa akhirnya menjadi faktor utama kerajaan Pahang hilang kelebihan dua pertiga majoriti dalam sidang DUN pada PRU-14.
Kebangkitan menyeluruh rakyat di seluruh negara ketika itu akhirnya merebak juga di Pahang dan pada PRU-14, pembangkang berjaya memenangi 17 kerusi DUN dan kerajaan negeri ketika itu hanya terbentuk berdasarkan majoriti mudah.
Umno-BN sepatutnya berterima kasih kepada PAS yang memiliki lapan kerusi DUN ketika itu, kerana wujudnya kesepakatan melalui Muafakat Nasional (MN) di peringkat Pusat.
Maka, inisiatif MN dipelopori antara Umno-PAS selepas BN tumbang di peringkat Pusat dalam PRU-14 jugalah dapat membantu kerajaan Pahang untuk terus melaksanakan pelbagai inisiatif kepada rakyat di negeri ini.
Namun, kerjasama itu berakhir sebelum PRU-15 dan keputusan pengundian pada 19 November lalu, menyaksikan Umno-BN Pahang mencatatkan rekod terburuk mereka hingga tidak dapat menubuhkan kerajaan negeri.
BN hanya mendapat 16 kerusi, manakala PAS melalui gabungan bersama Bersatu dan Gerakan memperoleh 17 kerusi DUN.
Baki lapan lagi kerusi dimenangi Pakatan Harapan (PH), enam DAP dan dua PKR.
Jadi, kalau dilihat kepada prestasi sejak 20 tahun kebelakangan ini, bolehlah dikatakan dakwaan kononnya Pahang adalah kubu kuat Umno-BN hanyalah mitos dan dongeng semata-mata.
Walaupun semalam sudah ada khabar angin Umno-BN sedia bekerjasama dengan PH untuk menubuhkan kerajaan negeri di Pahang, namun perkara itu masih belum dimuktamadkan.
Dan sehingga hari ini, selepas keputusan PRU-15 diumumkan, kerajaan negeri Pahang masih belum dapat ditubuhkan dan semua wakil parti masih gigih berbincang tawaran terbaik untuk kepentingan diri mereka. – Malaysiapost

