Kanak-kanak 11 tahun maut didera bapa tiri

0
3

SEORANG kanak-kanak perempuan berusia 11 tahun maut dipercayai didera bapa tirinya di rumah mereka dekat Taman Sri Ramal, Kajang, malam kelmarin.

Kanak-kanak terbabit dikejarkan ke Hospital Serdang menaiki ambulans selepas ditemui tidak sedarkan diri.

Ketua Polis Daerah Kajang, Asisten Komisioner Mohd Zaid Hassan, berkata mangsa tiba di hospital kira-kira jam 11.33 malam kelmarin, namun disahkan meninggal dunia ketika dalam perjalanan.

Menurutnya, pihak polis menerima satu aduan berkait kematian mangsa pada jam 12.39 tengah malam kelmarin daripada pihak hospital.

“Hasil bedah siasat dijalankan hari ini mendapati kematian mangsa dipercayai berpunca daripada kesan hentakan benda tumpul pada bahagian kepala dan perut yang menyebabkan ususnya pecah.

“Selain itu terdapat juga beberapa kesan lebam pada bahagian punggung, buah dada serta lengan mangsa,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Susulan itu, beliau berkata polis menahan seorang lelaki berusia 53 tahun yang juga bapa tiri mangsa di pekarangan hospital, kira-kira jam 2.25 petang tadi.

“Hasil siasatan awal, suspek mengaku memukul mangsa dengan menggunakan tangan, kaki dan baldi di dalam tandas rumah mereka.

“Suspek mendakwa dia bertindak sedemikian kerana marahkan mangsa yang dikatakan sering membuat masalah ketika ibunya tiada di rumah,” katanya.

Mohd Zaid berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan iaitu membunuh yang memperuntukkan hukuman mati mandatori dan gantung sampai mati, jika disabitkan kesalahan.

“Kami menyeru mana-mana pihak yang mempunyai maklumat tentang kejadian ini untuk tampil membantu siasatan polis,” katanya. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here