Muhyiddin sendiri pernah kuasai Umno, Puad bidas Annuar

0
2

SEORANG ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) Umno membidas Tan Sri Annuar Musa dengan menyifatkan Ketua Umno bahagian Ketereh itu sebagai hipokrit.

Ia susulan dakwaan Annuar Umno kini dikuasai Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim berikutan ura-ura Barisan Nasional (BN) akan bekerjasama dengan Pakatan Harapan (PH).

Menurut Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Rengit, Datuk Mohd Puad Zarkashi, Annuar lupa sejarah Umno berada dalam kerajaan Tan Sri Muhyiddin Yassin sebelum ini.

“Tidakkah Muhyiddin menguasai Ahli Parlimen Umno. Dia lantik menteri Umno tanpa peduli hirarki Umno. Annuar jadi menteri juga.

“Annuar patuh cakap Muhyiddin daripada cakap parti. Dia pertahankan keputusan Muhyiddin isytihar darurat dan gantung Parlimen. Mujur Yang di-Pertuan Agong batalkan darurat,” katanya menerusi hantaran di Facebooknya.

Pagi tadi, Annuar menulis di Facebooknya mendakwa Anwar telah menguasai Umno yang ia dibuktikan menerusi perbualan telefon antara Pengerusi PH itu yang disebut sebagai ‘guru’ dengan Presiden Umno, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi yang dikatakan ‘murid’.

Malah Annuar mendakwa, Ahmad Zahid mengikut arahan Anwar sehingga banyak kerusi selamat Umno dikorbankan semata-mata bagi menjayakan ‘Langkah Cikgu’.

Mengulas lanjut, Mohd Puad mendakwa Annuar sebenarnya berkomplot menentang keputusan Perhimpunan Agung Umno apabila cuba menghalang parti keluar dari kerajaan PN dan mahu Muhyiddin kekal sebagai Perdana Menteri.

“Dia juga cuba halang Parlimen bubar awal sebelum pemilihan parti. Senanglah beliau dan kumpulannya menang pemilihan parti ketika mereka masih menjadi menteri.

“Naratif mereka sekarang ialah “No Anwar, No Dap”. Padahal tular video Annuar kata, apa salahnya kerjasama dengan DAP. Dia juga pertahankan “MOU dengan DAP” apabila (Datuk Seri) Ismail Sabri Yaakob jadi Perdana Menteri.

“Apakah itu bukan bersekongkol dengan DAP? DAP dapat peruntukan sama banyak dengan Ahli Parlimen BN. Bahkan dia kata MOU itu tiada had masa. Kalau batalkan MOU itu, BN boleh disaman. Begitu sekali dia suka DAP,” katanya lagi. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here