Zahid, Tok Mat, Zambry tiba di Istana Negara

0
2

TIGA pimpinan Barisan Nasional (BN) tiba di Istana Negara untuk menghadap Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah, hari ini.

Pertemuan itu membabitkan Pengerusi BN, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi; Timbalan Pengerusi BN, Datuk Seri Mohamad Hasan dan Setiausaha Agung BN, Datuk Seri Zambry Abdul Kadir.

Ketiga-tiga pimpinan itu tiba secara berasingan sekitar jam 10.40 pagi tadi.

Semalam, Yang di-Pertuan Agong menitahkan semua 30 ahli Parlimen BN untuk menghadap baginda hari ini, selepas Al-Sultan Abdullah bertemu Pengerusi Pakatan Harapan (PH), Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Pengerusi Perikatan Nasional (PN), Tan Sri Muhyiddin Yassin petang semalam.

Namun, mesyuarat Dewan Tertinggi BN semalam memutuskan untuk memohon kepada Istana Negara menangguhkan pertemuan baginda bersama 30 ahli Parlimen berkenaan.

Parlimen Malaysia tergantung selepas Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) Sabtu lalu dan tiada satu parti pun menang melepasi majoriti mudah 112 kerusi Parlimen.

PH menang paling banyak kerusi Parlimen iaitu 82 diikuti PN 73 kerusi dan BN 30 kerusi.

Manakala Gabungan Parti Sarawak (GPS) menang 23, Gabungan Rakyat Sabah (GRS) enam kerusi dan Warisan menang tiga kerusi. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here