Tolak Kerajaan Perpaduan, Muhyiddin tidak hormat Agong – Puad

0
2
Foto Kredit: Minda Rakyat

TAN Sri Muhyiddin Yassin didakwa tidak menghormati Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah kerana menolak cadangan penubuhan Kerajaan Perpaduan antara Perikatan Nasional (PN) dan Pakatan Harapan (PH).

Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) Umno, Datuk Dr Mohd Puad Zarkashi, berkata ketika sesi menghadap Al-Sultan Abdullah, Pengerusi PN itu meninggalkan tanda tangan tetapi tetap menulis ‘tidak bersetuju’.

“Muhyiddin jelas tidak hormat Yang Di-Pertuan Agong. Muhyiddin dakwa sudah hantar 115 SD (akuan bersumpah) Ahli Parlimen yang sokong dia jadi PM (Perdana Menteri).

“Dia seperti menyalahkan Istana yang kata SD itu tidak lengkap. Kalau berani, dedahkanlah nama 115 MP tersebut. Mana tahu ada nama MP dari BN (Barisan Nasional). Kalau tidak berani, jangan setakat Istana, rakyat pun tidak percaya.

“Apa yang terserlah semalam ialah Muhyiddin berwatak angkuh dan pendendam. Layakkah dia jadi PM semula. Ustaz (Tan Sri Abdul) Hadi (Awang) disebelahnya hanya mengangguk. Itulah PAS,” katanya dalam hantaran Facebook.

Semalam, Yang di-Pertuan Agong mencadangkan kerajaan perpaduan antara PH dan PN, namun ditolak Muhyiddin.

Pengerusi PN itu berkata, partinya telah memutuskan sebulat suara menolak kerjasama dengan PH untuk membentuk kerajaan perpaduan.

Tindakan PN menolak cadangan Yang di-Pertuan Agong mengakibatkan Parlimen terus tergantung dan kerajaan baharu tidak dapat ditubuhkan segera.

Dalam pada itu, Muhyiddin menayangkan kepada pemberita suatu fail lut sinar yang dikatakan mengandungi “bukti” PN mempunyai sokongan melebihi 112 Ahli Parlimen. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here