VETERAN Umno Tan Sri Shahrir Samad membidas tindakan Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob yang didakwa meletakkan tanggungjawab sepenuhnya kekalahan Barisan Nasional (BN) pada Pilihan Raya Umum Ke-15 Sabtu lalu, kepada Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.
Shahrir berkata, Ismail Sabri juga perlu bertangungjawab di atas kekalahan BN kerana ketika PRU15 beliau adalah Perdana Menteri dan juga ‘poster boy’ kepada parti.
“Ismail Sabri adalah Perdana Menteri yang membubarkan Dewan Rakyat setelah bentangkan Bajet 2023 (yang tidak dibahas). Dalam masa tempoh PRU15, DS Ismail juga ‘caretaker PM’.
“Sambil itu, ‘poster boy’ BN juga, iaitu kalau BN menang akan jadi PM. Tapi BN kalah, dan Ismail Sabri letakkan tanggungjawab itu sepenuhnya kepada Zahid sebagai Presiden Umno. Ambiklah sikit ‘share’,” katanya menerusi Facebook.
Jelas Shahrir lagi, ketika BN tewas pada PRU14 lalu, Datuk Seri Najib adalah Presiden Umno dan juga Perdana Menteri.
“(Namun) pada PRU15, Zahid ialah Presiden dan Ismail Sabri (pula) adalah Perdana Menteri. Mengapa hanya Presiden Umno yang kena ‘besar hati’ menerima tanggungjawab parti kalah?
“Kalau pun Ismail Sabri yang berjawatan Perdana Menteri dan berkedudukan ‘poster boy’ tidak langsung ada impak ke dalam PRU15 ini sehingga BN kalah, tapi tetap Ismail Sabri ‘ada saham’ dalam prestasi BN juga.
“Takkan bila menang jadi PM. Bila kalah, orang lain yang salah. ‘Steady’ lah sikit. Kita tinggal 30 (Ahli Parlimen) je,” katanya.
Terdahulu, menerusi sebuah klip video malam tadi, Ismail Sabri mengulangi pendirian menggesa Ahmad Zahid untuk menjadi pemimpin berjiwa besar dan mendengar pandangan daripada ahli berhubung desakan mahu beliau berundur.
“Setiap pertubuhan dalam kepimpinan mana-mana pun, apabila parti mengalami kekalahan dan sebagainya seseorang mesti dipertanggungjawabkan.
“Datuk Najib, kalah hari ini terus meletakkan jawatan, itu pemimpin berjiwa besar. Jadi saya percaya Zahid juga seorang pemimpin berjiwa besar dan akan mengambil kira pandangan ahli,” katanya. – Malaysiapost

