Annuar dakwa ada pihak cuba lengahkan Ahli Parlimen BN menghadap Agong

0
2

TAN Sri Annuar Musa mendakwa ada pihak cuba melengah-lengahkan titah supaya 30 Ahli Parlimen Barisan Nasional (BN) menghadap Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah di Istana Negara, pagi ini.

Bekas Setiausaha BN itu berkata, percubaan pihak tertentu yang cuba menghalang titah dikeluarkan secara terbuka dan telus oleh Istana Negara itu sebagai tidak wajar, dan boleh disifatkan menghalang Agong daripada menyempurnakan tugas Baginda.

“Terdapat pihak yang kini cuba melengah-lengahkan titah mengadap, kerana jika itu berlaku sudah pasti rancangan dan komplot ‘Murid dan Guru’ akan gagal.

“Penangguhan ini, jika di perkenankan akan meletakkan Agong dalam keadaan serba salah dan mungkin dituduh berkerjasama dengan satu pihak yang tertentu.

“Sedangkan kita tahu Baginda hanya mahu perkara ini di sempurnakan dengan baik dan berperlembagaan,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Malah, Annuar berkata, keadaan itu sekali gus mendedahkan Istana Negara kepada pelbagai tuduhan yang tidak wajar.

“BN perlu telus dengan memberi ‘update’ perkara sebenar. Hal ini juga meletakkan BN sebagai parti yang dilihat berterusan menimbulkan masaalah kepada rakyat, bukan menyelesaikan masalah rakyat.

“Inilah juga antara sebab BN ditolak rakyat. Semuanya berpunca dari ‘satu orang’, parti menanggung akibatnya. Belum cukupkah lagi kerosakan yg telah dibawa kepada parti ini?,” soalnya.

Sementara itu, Annuar berkata, tindakan BN mahu memohon penangguhan menghadap sekali lagi itu juga, menimbulkan tanda tanya rakyat tentang apa yang sebenarnya sedang berlaku dalam gabungan itu.

“Sewajarnya BN lebih terbuka dan telus dengan orang ramai kerana ini adalah perkara menyentuh kepentingan ramai.

“Percubaan menangguhkan ini bukan saja dilihat sebagai perbuatan ingkar titah Agong, tetapi juga menunjukkan ada sesuatu yang tidak kena dalam BN itu sendiri,” katanya.

Jelasnya lagi, keadaan itu sekali gus membuktikan ada yang ‘tidak kena’ pada pihak BN dan bukannya Istana Negara.

“Hal ini patut di jelaskan kepada orang ramai. BN sepatutnya tidak menyulitkan Agong menyempurnakan tugas Baginda.

“Beberapa pemimpin utama BN, khususnya Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, Datuk Seri Hishmmuddin Hussein.

“Termasuk Ahli Parlimen MCA, MIC, PBRS dan sejumlah besar Ahli ParlimenBN telah menyatakan secara terbuka mereka menolak Datuk Seri Anwar Ibrahim dan mempertahankan Dasar Parti ‘No Anwar, No DAP’.

“Ini menjadi bukti Anwar sudah gagal mendapat cukup bilangan kerana beliau memerlukan sekurang kurangnya 27 daripada 30 Ahli Parliman BN,” katanya.

Malam tadi, BN memohon penangguhan titah Al-Sultan Abdullah supaya 30 ahli Dewan Rakyat gabungan itu menghadap Seri Paduka Baginda di Istana Negara esok.

Perkara itu telah disahkan oleh Ahli Parlimen Tapah, Datuk Seri M Saravanan berikutan masih banyak perkara belum diteliti. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here