PN Perak nafi PAS, Bersatu berebut jawatan Menteri Besar

0
3

PERIKATAN Nasional (PN) Perak menafikan berlaku perebutan jawatan Menteri Besar antara PAS dan Bersatu seperti tular di media sosial.

Setiausahanya, Datuk Zainol Fadzi Paharudin berkata tidak pernah timbul soal perebutan jawatan Menteri Besar antara kedua-dua parti dalam gabungan PN itu.

Katanya, sebarang keputusan sentiasa dibuat secara musyawarah antara kesemua komponen PN.

“Saya sendiri tidak pernah gilakan jawatan Menteri Besar, malah kami patuh kepada kepimpinan pusat dalam apa jua yang telah diputuskan.

“Malah pertemuan dengan Sultan Nazrin Shah tempoh hari pun Tuanku menzahirkan ucapan tahniah atas kemenangan banyak kerusi kepada saya dan Pesuruhjaya PAS Perak, Razman Zakaria.

“Tuanku menasihati kami agar menjadi wakil rakyat yang menunjukkan sikap baik tanpa menimbulkan kekecohan,” katanya menerusi kenyataan hari ini.

Zainol Fadzi yang juga Setiausaha Bersatu Perak turut menafikan dakwaan parti itu akan keluar daripada PN jika Menteri Besar dilantik dalam kalangan wakil rakyat PAS.

Tegasnya, dakwaan yang tular tersebut berniat jahat dan cubaan menjatuhkan kredibiliti Bersatu.

“Saya perlu beri penjelasan tiada seorang pun Adun Bersatu pernah mengeluarkan kenyataan seperti didakwa iaitu jika Menteri Besar daripada PAS, maka kami akan keluar PN, ini fitnah besar.

“Dalam perjumpaan di istana, kami telah maklumkan kepada Tuanku kami hanya mempunyai 26 wakil rakyat dan kami reda, namun janganlah aibkan kami seperti ini,” katanya.

Terdahulu hari ini tular tangkap layar perbualan dalam kumpulan WhatsApp kononnya terdapat perebutan jawatan Menteri Besar antara PAS dan Bersatu. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here