Agong titah 30 Ahli Parlimen BN ke Istana Negara esok

0
3

YANG di-Pertuan Agong menitahkan 30 ahli Dewan Rakyat daripada Barisan Nasional (BN) menghadap secara individu bermula jam 10.30 pagi esok.

Ia adalah lanjutan daripada sesi menghadap Pengerusi Pakatan Harapan (PH), Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Pengerusi Perikatan Nasional (PN), Tan Sri Muhyiddin Yassin di Istana Negara petang tadi.

Menurut Datuk Pengelola Bijaya Diraja Istana Negara, Datuk Seri Ahmad Fadil Shamsuddin, proses itu bertujuan supaya Yang di-Pertuan Agong dapat membuat keputusan bagi melantik seorang ahli Dewan Rakyat yang pada hemat Baginda mungkin mendapat kepercayaan mojoriti ahli Dewan Rakyat sebagai Perdana Menteri.

“Seri Paduka Baginda menyeru dan menasihati seluruh rakyat agar bersabar dan bertenang sehingga proses pembentukan kerajaan baharu dan pelantikan bakal Perdana Menteri Malaysia ke-10 selesai.

“Seri Paduka Baginda turut menyeru rakyat untuk bersama mendoakan semoga proses tersebut dipermudahkan dan berjalan lancar demi kepentingan tanah air yang tercinta.

“Seri Paduka Baginda mengajak rakyat bersama mendoakan agar negara dan rakyat sentiasa dirahmati, diberkati dan dilindungi danpada sebarang bentuk bencana dan musibah,” katanya menerusi kenyataan lewat petang ini.

Terdahulu Anwar memaklumkan belum ada sebarang keputusan daripada Yang di-Pertuan Agong mengenai pelantikan Perdana Menteri ke-10 setakat ini.

Ketika ditemui media di luar pintu Istana Negara sebentar tadi, Pengerusi PH itu memberitahu Seri Paduka Baginda bertitah perlu ada kesepakatan dan kerjasama semua pihak untuk membentuk kerajaan yang kukuh. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here