DATUK Seri Ahmad Shabery Cheek menyindir bekas Menteri Komunikasi Multimedia (KKMM) Tan Sri Annuar Musa yang melulu mempercayai berita yang tersebar di media sosial tanpa menapisnya terlebih dahulu.
Beliau membidas kenyataan Annuar yang mendakwa beliau mempengaruhi ahli Umno untuk memberi sokongan kepada Barisan Nasional (BN) membentuk jajaran baharu bersama Pakatan Harapan (PH) sekali gus membolehkan untuk menubuhkan Kerajaan Persekutuan.
“Semalam banyak wartawan bertanya saya tentang satu tulisan yang tersebar kononnya saya yang tulis.
“Saya beritahu itu bukan tulisan saya. Maka tidak ada satu pun media utama yang menyiar atau memetiknya.
“Malangnya bekas menteri Multimedia bidas saya dalam sidang medianya atas tulisan yang tak benar itu tanpa memeriksanya terlebih dahulu.
“Saya hanya menyedarinya sebelah petang dan terus menghantar pesanan whatsApp kepada rakan saya itu bahawa itu bukan tulisan saya,” katanya di Facebook, hari ini.
Ahmad Shabery turut mempamerkan pautan portal tersebut pada hantaran di Facebook miliknya.
Justeru, Ahmad Shabery menasihatkan Annuar membuat semakan terlebih dahulu seperti kempen KKMM dalam membendung berita palsu di media sosial sebelum ini.
Malah beliau turut ‘mengajar’ Annuar bagaimana untuk menyemak kesahihan berita yang tersebar di media sosial.
“Lebih 12 jam Tan Sri tak buat apa-apa tentang keterlanjurannya. Ia membentuk fikiran saya tentang tahap berfikir Tan Sri.
“Maka izinkan saya mengingatkan Tan Sri tentang kempen ‘klik dengan bijak MCMC’, dan juga asas memeriksa sesuatu berita yang biasa digunakan oleh wartawan. Antaranya:
“Periksa sumber: datang dari media mana, atau laman FB, twitter atau IG orang yang dijadikan bahan.
“Guna google untuk cek berbagai sumber lain dan pastikan ia bukan berita lama, seperti ada cerita Tan Sri satu ketika dahulu kata Umno sedia kerjasama dengan DAP.
“Kalau tak pasti lagi, hindarkan, jangan share apatah lagi buat sidang media. Ramai orang tengok, dan bentuk pandangan hina kepada kita kelak.
“Maaf Tan Sri bukan nak ngajar, sekadar saling menginsafi,” katanya. -Malaysiapost

