Pemimpin BN mula tiba di Menara Dato’ Onn

0
2

BEBERAPA pemimpin Barisan Nasional (BN) mula tiba di Ibu Pejabat Umno, Menara Dato’ Onn di Pusat Dagangan Dunia (WTC) Kuala Lumpur bagi menghadiri Mesyuarat Dewan Tertinggi, pagi ini.

Suasana di WTC pagi ini mula meriah dengan ketibaan pemimpin dan Ahli Parlimen BN ketika kemelut pembentukan kerajaan dan pemilihan Perdana Menteri Ke-10 dijangka mencapai kemuncak hari ini.

Setakat jam 10 pagi tadi, tiga Ahli Parlimen BN dilihat masuk ke WTC untuk menghadiri mesyuarat berkenaan, antaranya Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) Umno, Datuk Seri Johari Abdul Ghani.

Mesyuarat yang bermula jam 11 pagi amat penting untuk merangka keputusan sama ada BN memilih Perikatan Nasional (PN) atau Pakatan Harapan (PH) bagi membantu pembentukan kerajaan Persekutuan atau menjadi pembangkang bagi penggal ini.

Turut dilihat hadir, Timbalan Presiden Parti Bersatu Rakyat Sabah (PBRS) yang juga Ahli Parlimen Pensiangan, Datuk Arthur Joseph Kurup; Timbalan Presiden MCA, Datuk Mah Hang Soon serta Setiausaha Agung MCA, Datuk Chong Sin Woon.

Ia disusuli Ahli Parlimen Kota Tinggi, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin dan Ahli Parlimen Kinabatangan, Datuk Seri Bung Moktar Radin dan Ahli Parlimen Tapah, Datuk Ser M Saravanan.

Pengerusi BN yang juga Presiden Umno, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi akan mempengerusikan mesyuarat tersebut.

Semalam, Setiausaha Agung Umno, Datuk Seri Ahmad Maslan menjelaskan Dewan Tertinggi BN akan membuat keputusan berhubung sokongan mereka kepada gabungan parti politik untuk membentuk kerajaan.

PN mendakwa sudah cukup bilangan Ahli Parlimen untuk membentuk kerajaan, sementara PH belum mencukupi bilangan kerusi diperlukan.

Pada masa sama, PH melalui Pengerusinya, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengesahkan membentuk kerjasama bersama BN dan mempunyai majoriti untuk ke Putrajaya.

Bagaimanapun, Timbalan Pengerusi BN, Datuk Seri Mohamad Hasan mencadangkan agar PN dan PH bergabung untuk menubuhkan kerajaan. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here