PAS memberi amaran kepada mana-mana pihak supaya tidak menangguk di air yang keruh dan jangan sesekali dijolok ‘sarang tebuan’ ketika kemelut penubuhan kerajaan baharu belum selesai.
Presiden PAS, Tan Sri Abdul Hadi Awang menegaskan amaran tersebut demi menjaga kepentingan negara dan rakyat keseluruhannya.
“PAS menyeru semua pihak menghormati keputusan pengundi yang telah menunaikan tanggungjawab untuk memilih kerajaan pada Pilihan Raya Umum Ke-15(PRU15) yang berlangsung secara harmoni.
“Malaysia kini sedang melalui fasa penting pembentukan kerajaan melalui proses Demokrasi Berparlimen dan Raja Berperlembagaan,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Abdul Hari berkata, sehubungan itu PAS menyeru semua pihak menjunjung keluhuran Perlembagaan, menghormati keutuhan undang-undang dan memelihara ketenteraman awam, serta menghalang sebarang bentuk provokasi yang boleh menggugat keharmonian dalam negara.
Terdahulu, Yang di-Pertuan Agong berkenan supaya proses bagi mengemukakan gabungan parti politik pasca PRU15 untuk pembentukan kerajaan baharu dan pencalonan Perdana Menteri ke-10, dilanjutkan sehingga jam 2 petang hari ini.
Situasi politik semasa negara menjadi topik hangat selepas kepemimpinan Barisan Nasional (BN) dan Pakatan Harapan berbincang di sebuah hotel di ibu negara, semalam.
Pertemuan BN dan PH mengejutkan banyak pihak disifatkan simbolik bagi penjajaran baharu. – Malaysiapost

