DAP tiada masalah berhubung cadangan pembentukan kerajaan perpaduan dengan Barisan Nasional (BN) jika itu keputusan kepimpinan tertinggi Pakatan Harapan (PH).
Pengerusinya, Lim Guan Eng berkata, DAP akan memberi sokongan terhadap keputusan diambil PH yang dibuat secara bersama kerana parti itu sebahagian daripada PH.
“Jadi saya tidak mahu cakap lebih daripada itu kerana ia keputusan yang kita ambil bersama, bukan saja dalam mesyuarat CEC (Jawatankuasa Tertinggi Pusat).
“Terpulang kepada pimpinan tertinggi PH, kita akan sokong keputusan yang mereka buat.
“Kita sebahagian PH jadi kalau PH ada polisi itu (bergabung dengan BN) kita bersamalah dengan keputusan PH,” katanya dipetik Harian Metro, hari ini.
Ditanya sama ada beliau sudah mengadakan pertemuan dengan kepimpinan tertinggi PH berhubung cadangan itu, Guan Eng enggan mengulas lanjut.
“Saya baru sampai dari Kuala Lumpur dan bergegas ke sini untuk (menghadiri) pembentangan bajet,” katanya. – Malaysiapost

