PRESIDEN PAS, Tan Sri Abdul Hadi Awang memaklumkan bahawa Perikatan Nasional (PN) sudah mempunyai cukup majoriti untuk membentuk kerajaan baharu.
Menerusi hantaran ringkas di Facebooknya, Abdul Hadi berkata pihaknya juga sudah menghantar surat akuan berkanun (SD) Ahli Parlimen seperti mana yang ditetapkan.
“Kami dah cukup. Kami dah hantar. Tunggu untuk diundang,” tulisnya di Facebook.
Sementara itu, ketika ditemui media di luar kediaman Pengerusi PN, Tan Sri Muhyiddin Yassin, Abdul Hadi mengulangi kenyataan sama.
Beliau berkata, pihaknya hanya menunggu untuk dijemput atau diundang ke Istana Negara pada bila-bila masa sahaja.
Terdahulu, Setiausaha Agung PN, Datuk Seri Hamzah Zainudin memaklumkan sudah mengemukakan SD daripada Ahli Parlimen yang memberi kepercayaan kepada Ahli Parlimen Pagoh untuk dilantik sebagai Perdana Menteri ke-10 oleh Yang di-Pertuan Agong.
Hamzah berkata, jumlah SD yang dihantar adalah melebihi 112 iaitu jumlah kepercayaan majoriti ahli Dewan Rakyat yang diperlukan untuk pelantikan Perdana Menteri di bawah Perkara 43 Perlembagaan Persekutuan. – Malaysiapost

