Ka Siong tidak sangka ada pertemuan dengan Ahli Parlimen PH

0
1

PRESIDEN MCA, Datuk Seri Dr Wee Ka Siong mendakwa beliau tidak tahu menahu perjumpaan Ahli-Ahli Parlimen Barisan Nasional (BN) hari ini melibatkan pertemuan dengan Ahli Parlimen Pakatan Harapan (PH).

Ka Siong yang menang di Parlimen Ayer Hitam pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) menjelaskan, beliau telah menerima notis malam tadi memintanya hadir ke Hotel Sri Pacific jam 10 pagi tadi.

“Pagi tadi saya menghadiri perjumpaan Pengerusi BN dengan semua Ahli Parlimen BN pada jam 10 pagi di Seri Pacific Hotel, Kuala Lumpur.

“Saya menerima notis melalui aplikasi WhatsApp daripada Setiausaha Kerja BN pada jam 11.23 malam semalam mengenai perjumpaan hari ini hanya melibatkan Ahli-Ahli Parlimen BN.

“Satu sidang media telah diadakan selepas perjumpaan yang hanya melibatkan Ahli Parlimen BN dan puluhan wartawan telah membuat liputan,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Ka Siong mengakui beliau tidak mengadakan sebarang perjumpaan dengan mana-mana Ahli Parlimen PH meskipun mereka berada di hotel yang sama.

Jelasnya, beliau tidak nampak mana-mana Ahli Parlimen BN mengadakan perjumpaan dengan wakil rakyat PH sepanjang berada di hotel berkenaan.

“Saya terkilan apabila sebaik saja tiba di Seri Pacific Hotel, pemimpin-pemimpin PH turut hadir dalam perjumpaan ini. Saya tidak tahu samada ianya telah pun diatur terlebih awal atau pun satu kebetulan.

“Perlu ditegaskan tiada sebarang perjumpaan di antara Ahli Parlimen BN dan wakil PH berlangsung ketika saya berada di Seri Pacific Hotel dari 10 pagi hingga 12 tengahari.

“Apa yang pasti, saya hanya menghadiri perjumpaan bersama Pengerusi BN dengan semua Ahli Parlimen BN sahaja,” katanya.

Ka Siong juga menyifatkan kehadiran Ahli-Ahli Parlimen PH di Sri Pacific hanya kebetulan dan tiada pertemuan antara Ahli Parlimen kedua-dua parti.

“Selepas perjumpaan dan sidang media bersurai, saya tidak terlibat dalam mana-mana perbincangan, pertemuan samada kebetulan atau tidak dengan pemimpin-pemimpin PH.

“Apa jua keputusan yang dibuat oleh BN perlu mendapat persetujuan dan mandat daripada Dewan Tertinggi BN,” katanya. -Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here