PN persembah lebih 112 surat akuan berkanun kepada Agong

0
3
perikatan nasional

PERIKATAN Nasional (PN) mendakwa telah berjaya memperolehi sokongan lebih 112 Ahli Parlimen menerusi surat akuan berkanun yang sudah dipersembahkan kepada Yang di-Pertuan Agong, hari ini.

Setiausaha Agung PN, Datuk Seri Hamzah Zainudin berkata, sehubungan itu parti itu mencalonkan Tan Sri Muhyiddin Yassin untuk dilantik menjadi Perdana Menteri ke-10 Malaysia.

“PN telah mengemukakan Surat Akuan Berkanun daripada ahli-ahli Dewan Rakyat yang memberi kepercayaan kepada Tan Sri Muhyiddin Yassin, Ahli Parlimen Pagoh, untuk dilantik sebagai Perdana Menteri ke-10 oleh Yang di Pertuan Agong.

“Jumlah Surat Akuan yang dihantar adalah melebihi 112, iaitu jumlah kepercayaan majoriti Ahli Dewan Rakyat yang diperlukan untuk pelantikan Perdana Menteri di bawa Perkara 43 Perlembagaan Persekutuan,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Bagaimanapun, Hamzah tidak memperincikan parti mana yang bergabung dengan PN sehingga berjaya melepasi majoriti mudah 112.

Keputusan Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) kelmarin, menyaksikan tiada parti yang melepasi majoriti mudah 112 bagi membentuk Kerajaan Persekutuan.

Pakatan Harapan (PH) berjaya memenangi 82 kerusi Parlimen, PN dengan 73 dan Barisan Nasional (BN) memiliki 30 kerusi. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here