Fitri Nizam
MENTERI di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Seri Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri dibenarkan pulang selepas disahkan pulih daripada Covid-19.
Memaklumkan perkembangan itu, Zulkifli memanjatkan kesyukurannya kepada Allah dan berterima kasih kepada Perdana Menteri, Jemaah Menteri, rakan ulama dari seluruh dunia serta rakyat Malaysia yang mendoakan kesihatannya.
Beliau turut berterima kasih juga kepada Menteri Kesihatan, Ketua Pengarah Kesihatan Malaysia dan warga KKM khususnya di Hospital Tuanku Ja’afar, Seremban.
Bagaimanapun, beliau memaklumkan bahawa, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) menasihatkannya untuk berehat di rumah sehingga Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) selesai.
“Buat masa ini, saya disarankan untuk tidak bertemu sesiapa. Justeru, sebarang pertemuan adalah melalui sidang video sahaja.
“Saya akan terus memantau semua gerak kerja dan laporan agensi-agensi agama di bawah tanggungjawab saya dari rumah. Apa-apa makluman umum akan disampaikan melalui media sosial saya,” katanya dalam satu hantaran di Facebook hari ini.
Beliau dimasukkan ke hospital selepas disahkan positif Covid-19 pada 5 Oktober lalu.
Zulkifli berkata, fokus utama beliau buat masa ini adalah penyaluran bantuan kepada kelompok sasar terutamanya di Kuala Lumpur, Putrajaya dan Selangor.
“Ini kerana PKPB telah bermula dan bantuan-bantuan perlu disalurkan dengan sesegera mungkin,” katanya.
Beliau juga mendoakan semoga rakyat Malaysia yang menghidap Covid-19, segera sembuh dan dapat kembali meneruskan kehidupan bersama-sama keluarga tercinta. -Malaysiapost

