BN, PN saling memerlukan – Khairuddin

0
4

BEKAS Ahli Parlimen Kuala Nerus, Datuk Dr Mohd Khairuddin Aman Razali berkata, Perikatan Nasional (PN) dan Barisan Nasional (BN) akan saling memerlukan pada pasca Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).

Khairuddin yang juga bekas pemimpin PAS berkata, disebabkan itu beliau sering mengingatkan semua pihak supaya jangan memutuskan tali hubungan yang sudah terjalin.

“Sebab itu saya katakan dahulu ‘jangan dibakar jambatan’ kerana kita pasti saling memerlukan pasca PRU.

“Tapi lebih penting ialah tali persaudaraan sesama ahli politik Islam bagi memperkasakan Islam dan kepentingan rakyat,” katanya menerusi Facebook.

Beliau yang bertanding atas tiket BN di Parlimen Kuala Nerus pada PRU15 berkata, walaupun kedua-dua parti itu berbeza namun kekal bersaudara.

“Hari ini nampaknya yang digelar dengan pelbagai gelaran buruk diperlukan bagi membentuk kerajaan.

“Tentunya ia menjadi mudah apabila jambatan sentiasa dihubungkan. Berbincanglah elok-elok. Ketepikan sentimen dan ego. Berunding biarlah dari pintu depan,” katanya.

Semalam, media melaporkan, PN termasuk BN didakwa mempunyai majoriti untuk membentuk kerajaan tanpa kerjasama Pakatan Harapan (PH).

PRU15 yang paling sengit pernah dihadapi negara, berakhir dengan situasi tergantung apabila tiada parti mendapat majoriti mudah untuk membentuk Kerajaan Persekutuan baharu. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here