BN, PH muktamadkan kerjasama pagi ini?

0
2

BARISAN Nasional (BN) dijangka memuktamadkan kerjasama dengan Pakatan Harapan (PH) hari ini apabila pemimpin kedua-dua gabungan itu dikatakan mengadakan perjumpaan di sebuah hotel pagi ini.

Difahamkan perjumpaan akan berlangsung jam 10 pagi ini.

Memetik laporan portal berita, beberapa sumber daripada gabungan itu mengesahkan akan ada pertemuan pagi ini, bagaimanapun enggan memaklumkan tujuan ia diadakan.

Menurut sumber daripada PH ia sekadar perjumpaan biasa sahaja.

“Tak salah, jika pemimpin PH dan BN berjumpa dan bertukar pandangan selepas penat dengan kempen pilihan raya,” katanya.

Setakat ini belum ada mana-mana gabungan parti yang mampu membentuk kerajaan sehingga meletakkan Parlimen dalam situasi tergantung.

Keputusan rasmi menunjukkan PH memiliki kerusi terbanyak dengan 82 kerusi, diikuti Perikatan Nasional (PN) dengan 73 kerusi.

BN yang menjadi kerajaan sejak Merdeka sebelum dikalahkan pada Pilihan Raya Umum Ke-14 hanya memperoleh 30 kerusi.

Malam tadi, Pengerusi PN, Tan Sri Muhyiddin Yassin sekali lagi mengulangi gabungan itu mendapat sokongan yang cukup untuk dicalonkan sebagai Perdana Menteri.

Beliau menegaskan dalam Perlembagaan, tidak dinyatakan seseorang yang mahu dilantik sebagai Perdana Menteri perlu mendapatkan sokongan parti saja tetapi perlu memperoleh sokongan majoriti Ahli Parlimen.

“Insya-Allah, esok (hari ini) kita dapat mengemuka akuan bersumpah daripada mereka ini bahawa kita memiliki sejumlah Ahli Parlimen yang mencukupi untuk membentuk kerajaan.

“Kalau mengikut Perlembagaan, (sokongan) Ahli-Ahli Parlimen. Tak kata daripada parti mana. (Sokongan) individu boleh, secara kumpulan dan parti mereka pun boleh,” katanya selepas mesyuarat Majlis Pimpinan Tertinggi Bersatu, malam tadi.

Penegasan sama turut dibuat Pengerusi PH, Datuk Seri Anwar Ibrahim, malam tadi bahawa gabungan itu mempunyai majoriti untuk membentuk kerajaan Persekutuan.

Susulan itu, Anwar yang juga Presiden PKR, yakin beliau akan diberi peluang untuk menjadi Perdana Menteri.

Anwar bagaimanapun enggan menyatakan parti atau mana-mana Ahli Parlimen yang akan bekerjasama dengan PH.

Semalam, Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri-ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah bertitah agar ketua parti-parti politik dan gabungan parti mempunyai jumlah kerusi majoriti mengemukakan nama calon Perdana Menteri kepada Istana Negara sebelum jam 2 petang ini. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here