AHLI Majlis Kerja Tertinggi (MKT) Umno, Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican, berharap Ahli Parlimen Kepala Batas yang baharu Dr Siti Mastura Mohamad dapat meneruskan agenda-agenda rakyat yang diusahakannya di kawasan itu sebelum ini.
Bekas Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan yang gagal mempertahankan kerusi yang dimenanginya pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14) itu, bagaimanapun berlapang dada dengan kekalahan yang diterima.
“Hari ini (semalam) rakyat di Kepala Batas telah pun menjalankan hak demokrasi dalam memilih wakil rakyat mereka. Hari ini juga saya menerima dengan berlapang dada, keputusan PRU-15 yang tidak memihak kepada Barisan Nasional (BN) di Kepala Batas ini.
“Saya ingin merakamkan ucapan tahniah kepada YB Dr Mastura atas kemenangan di Parlimen Kepala Batas. Saya yakin YB Dr Mastura dapat menggalas tanggungjawab sebagai seorang Ahli Parlimen dengan baik serta dapat meneruskan agenda-agenda rakyat yang telah diusahakan sepanjang saya diberi mandat sebagai Ahli Parlimen.
“Terima kasih juga kepada para pengundi atas sokongan dan peluang kepada saya untuk berkhidmat mewakili Kepala Batas dalam dua penggal sebelum ini,” katanya dalam satu hantaran di Facebook.
Beliau berjanji, khidmatnya dan pasukan untuk Kepala Batas tidak akan terhenti hanya dengan keputusan PRU-15 ini.
“Saya juga akan terus mengkhidmati Kepala Batas dalam kapasiti saya yang baharu kerana inilah jiwa saya Demi Kepala Batas. Terima kasih Kepala Batas,” katanya.
Dalam PRU-15 semalam, penguasaan BN di Parlimen Kepala Batas sejak 1974 berakhir apabila calon penyandangnya, Reezal Merican tewas kepada calon Perikatan Nasional (PN), Siti Mastura yang memperoleh majoriti sebanyak 2,867 undi.
Siti Mastura memenangi kerusi berkenaan dengan mendapat 28,604 undi, manakala Reezal Merican memperoleh 25,737 undi yang turut mengenepikan saingan calon Parti Ikatan Demokratik Malaysia (MUDA) Muhammad Danial Abd Majeed (14,214 undi) undi dan calon Pejuang, Hamidi Abu Hassan (747 undi).
Reezal Merican bukan sahaja gagal mempertahankan kerusi dimenanginya pada PRu14, bahkan lebih buruk lagi BN Pulau Pinang kehilangan kesemua kerusi menjadi kubu kuat Umno, termasuk Parlimen Tasek Gelugor. – Malaysiapost

