‘l’Il be back’, kata Nurul Izzah 

0
2

NURUL Izzah Anwar menerima dengan hati terbuka kekalahannya di Parlimen Permatang Pauh pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) semalam. 

Anak kepada Pengerusi Pakatan Harapan (PH), Datuk Seri Anwar Ibrahim itu juga menganggap kekalahan di kubu kuat PH itu cabaran sebagai seorang wakil rakyat. 

Beliau tetap positif dan menganggap peluang mewakili Permatang Pauh di Dewan Rakyat sebelum ini, adalah penghormatan terbesar dalam hidupnya. 

“Di Permatang Pauh, bermulanya Kajian Kemiskinan Pelbagai Dimensi pasca Covid-19 yang pertama di Malaysia, akhirnya diangkat di peringkat Unit Perancang Economi (EPU) sebagai kaedah menilai kemiskinan dan Pendapatan Garis Kemiskinan (PGK) merentasi pendapatan semata-mata. 

“Terima kasih tidak terhingga atas peluang dan ruang yang diberikan. Buat pengundi serta penyokong yang dikasihi, kasih serta dokongan anda memberi saya kekuatan dalam mendepani cabaran hidup dan masa hadapan,” katanya menerusi hantaran di Instagram. 

Nurul Izzah turut mengucapkan tahniah kepada calon yang dipilih oleh rakyat dan menyifatkan ia sebagai tanggungjawab dan amanah. 

“Semoga mandat ini dipikul dengan penuh tanggungjawab, kasih dan kebijaksanaan. 

“Tiada usaha tanpa kesilapan dan kekurangan. Jangan bimbang, rakan seperjuangan. Berkat usaha, doa, insha-Allah ‘l’Il be back’ (saya akan kembali),” katanya 

Semalam, Ketua Pemuda PAS Pulau Pinang, Muhammad Fawwaz Mohamad Jan memenangi Parlimen Permatang Pauh yang menjadi kubu kuat Anwar sejak 1982. 

Muhammad Fawwaz meraih 37,638 undi dengan majoriti 5,272 untuk menewaskan Nurul Izzah yang memperoleh 32,366 undi. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here