Warisan sokong mana-mana gabungan mampu bentuk kerajaan stabil 

0
3

WARISAN akan menyokong sesiapa saja yang mampu membentuk kerajaan stabil, dengan syarat ia harus memberi manfaat kepada rakyat Sabah. 

Presidennya, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal berkata walaupun hanya memenangi tiga kerusi pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15), beliau yakin sokongan parti pimpinannya masih diperlukan bagi membentuk kerajaan Persekutuan. 

“Rakyat sudah bersuara, kita kena ‘move on’ dan bagi kita dalam Warisan, kita akan sokong sesiapa saja yang mampu membentuk kerajaan, tetapi haruslah memberi manfaat kepada rakyat Sabah. 

“Kita mahu berada dalam kerajaan yang memberi khidmat kepada rakyat, walaupun kita hanya menang tiga kerusi, tapi rakyat juga yang memilih kita menjadi wakil rakyat, macam di Semporna di mana saya menang lebih 20,000 undi majoriti, saya tidak mahu mengabaikan mereka. 

“Apa yang penting, pertamanya kerajaan yang kita sokong memberi manfaat kepada rakyat Malaysia di Sabah, keduanya kestabilan politik kerana kita tidak mahu pergolakan politik terus berlaku dan seterusnya kelangsungan Warisan ini sendiri,” katanya hari ini, lapor FMT. 

Sementara itu, Mohd Shafie berkata, Warisan akan melakukan “post mortem” terhadap kekalahan mereka di kerusi yang ditandingi pada pilihan raya umum ke-15 (PRU15). 

Beliau turut mengakui kelemahan utama Warisan ialah mendapatkan undi di kawasan Kadazan, Dusun dan Murut (KDM). 

“Kawasan KDM bukan hanya kelemahan kita pada PRU15, tetapi pada pilihan raya negeri sebelum ini. Sebab itu kita kena cuba atasinya dan bersiap sedia lebih awal, PRN mungkin diadakan dalam tempoh dua setengah tahun dari sekarang. 

“Kekalahan kita di sejumlah kerusi yang ditandingi juga disebabkan tsunami dicetuskan rakyat, namun demikian kita sambut baik apa yang berlaku, kita kena hormati apa yang berlaku di negara ini,” katanya. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here