AHLI Majlis Kerja Tertinggi Umno, Isham Jalil mencadangkan Barisan Nasional (BN) tidak menyertai mana-mana gabungan parti politik membentuk kerajaan campuran susulan kekalahan teruk pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).
Sebaliknya, beliau yang tewas kerusi Parlimen Shah Alam itu mahu BN menjadi pembangkang yang kuat supaya boleh menyemak imbang kerajaan untuk kepentingan rakyat kali ini.
“Rakyat telah memilih kita sebagai pembangkang, kita perlu hormati kemahuan rakyat tersebut.
“Semasa 22 bulan kita menjadi pembangkang selepas PRU14 dulu, rakyat telah kembali menyokong kita, namun sokongan dan kepercayaan tersebut telah terhakis apabila kita membentuk kerajaan campuran selepas Langkah Sheraton.
“Kini sebagai pembangkang, kita dalam Umno dan BN boleh bina semula kredibiliti dan kepercayaan rakyat terhadap kita berbanding jika kita menjadi kerajaan,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Pada PRU15, Pakatan Harapan (PH) memenangi 82 kerusi, diikuti Perikatan Nasional (PN) 73 kerusi, manakala BN memperoleh 30 kerusi.
Tiada mana-mana parti yang memperoleh lebih 50 peratus atau majoriti mudah daripada 219 kerusi Parlimen yang dipertandingkan semalam.
Sementara itu, Isham berkata Umno perlu mencari jalan dan berusaha untuk memulihkan parti supaya ia diterima semula oleh rakyat pada masa akan datang.
“Sekiranya kita terus ikhlas dan jujur dalam perjuangan, Allah SWT akan bantu kita mencapai kejayaan dan meredai perjuangan kita.
“Saya yakin akar umbi Umno akan terus setia dan istiqamah dalam perjuangan ini, walaupun dengan apa jua cabaran dan dugaan yang melanda seperti yang kita telah hadapi pada sebelum ini,” katanya.
Beliau turut berjanji akan bersama-sama Umno mencari penyelesaian dan pembaharuan bagi memulihkan parti supaya diterima semula oleh rakyat. – Malaysiapost

