AHLI Majlis Kerja Tertinggi Umno, Isham Jalil dilantik sebagai Ketua Penerangan parti itu yang baharu berkuat kuasa hari ini.
Isham berkata, pelantikan beliau itu dimaklumkan Timbalan Presiden, Datuk Seri Mohamad Hasan dan juga Setiausaha Agung Umno, Datuk Seri Ahmad Maslan menerusi panggilan telefon, sebentar tadi.
“Pelantikan ini susulan daripada perletakan jawatan Shahril Hamdan dan perbincangan di antara kepimpinan tertinggi parti, saya telah dilantik sebagai Ketua Penerangan Umno berkuatkuasa hari ini,” katanya menerusi Facebook.
Beliau berkata, surat rasmi berhubung pelantikan itu telah ditandatangani oleh kepimpinan parti.
“Saya ucapkan terima kasih ke atas perlantikan ini dan ke atas kepercayaan parti terhadap saya. Saya akan memegang amanah ini dengan sebaiknya,” katanya.
Terdahulu, Shahril Sufian mengumum letak jawatan sebagai Ketua Penerangan Umno berkuatkuasa hari ini.
Tindakan itu diambil berikutan kekalahan terburuk Barisan Nasional (BN) dalam Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15), semalam. – Malaysiapost

