Noh desak Zahid undur

0
3

Najamuddin Mohd Nor

TAN Sri Noh Omar mendesak Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi meletakkan jawatan sebagai Presiden Umno berikutan prestasi buruk Barisan Nasional (BN) pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15), semalam.

Beliau berkata, Ahmad Zahid perlu mencontohi bekas Presiden Umno, Datuk Seri Najib Razak yang mengambil tanggungjawab melepaskan jawatan dalam parti sebaik sahaja kalah pada PRU14, pada 2018.

Noh juga memaklumkan beliau meletakkan jawatan sebagai Pengerusi Perhubungan Umno Selangor berkuat kuasa serta merta, hari ini.

“Saya meletakkan jawatan kerana Presiden hilang kepercayaan kepada saya, dan saya pun hilang kepercayaan kepada presiden.

“Saya pun tadi minta kepada presiden patut letak jawatan sebagaimana Datuk Seri Najib Razak bila kalah pilihan raya dulu, terpaksa letak jawatan.

“Maka biarlah orang baru yang menguruskan Umno, sebagai Presiden Umno pun, dia menang pun majoriti 300 lebih saja,” katanya.

Noh yang digugurkan namanya pada saat akhir daripada bertanding mempertahankan kerusi Parlimen Tanjong Karang ditemui media di Menara Dato’ Onn, Kuala Lumpur, hari ini.

Beliau baru selesai menghadiri mesyuarat tergempar biro disiplin Umno susulan kekalahan teruk BN pada PRU15 ini.

“Bagaimanapun saya masih Ahli Majlis Kerja Tertinggi Umno, dan saya akan datang mesyuarat itu bila dipanggil,” katanya.

Ditanya mengenai adakah Umno dan BN akan bekerjasama dengan Perikatan Nasional (PN) atau Pakatan Harapan (PH) untuk membentuk kerajaan baharu, Noh enggan memberitahu.

“Itu saya tak tahu. Saya hanya nak bercakap tentang diri saya sahaja,” katanya. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here