Agong titah kemukakan calon PM sebelum 2 petang esok

0
5
YDPA

YANG di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri-ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah bertitah agar ketua parti-parti politik dan gabungan parti mempunyai jumlah kerusi majoriti mengemukakan nama calon perdana menteri kepada Istana Negara sebelum jam 2 petang, esok.

Datuk Pengelola Bijaya Diraja, Datuk Seri Ahmad Fadil Shamsuddin, berkata ketua parti perlu memaklumkan kepada pihak Istana Negara mengenai gabungan parti- parti politik yang telah dipersetujui bagi pembentukan kerajaan baharu pasca Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).

“Adalah dimaklumkan bahawa Istana Negara telah menerima keputusan rasmi PRU15, yang telah berlangsung semalam, daripada Suruhanjaya Pilihan Raya Malaysia (SPR) pada jam 1.15 tengah hari, hari ini.

“Dokumen yang telah dikemukakan oleh Pengerusi SPR Tan Sri Abdul Ghani Salleh jelas menyatakan bahawa tiada parti politik berjaya memperoleh majoriti mudah kerusi Parlimen untuk membentuk kerajaan baharu,” katanya dalam kenyataan media Istana Negara, hari ini.

Ahmad Fadil berkata, Istana Negara telah meminta kerjasama Yang di-Pertua Dewan Rakyat Tan Sri Azhar Azizan Harun berhubung perkara berkenaan.

Menurutnya, Paduka Baginda juga berkenan menasihati rakyat dan ketua parti-parti politik akur dan menghormati proses demokrasi seta menerima keputusan PRU15 dengan tenang seta berlapang dada.

Tambah beliau, titah tersebut demi menjaga keutuhan negara kerana negara ini umpama harta pusaka di mana para pemimpin adalah pemegang amanahnya.

“Seri Paduka Baginda turut mengingatkan bahawa negara memerlukan sebuah kerajaan yang stabil, berwibawa dan berintegriti untuk menjaga kemaslahatan rakyat dan memacu agenda kesejahteraan negara.

“Seri Padua Baginda mengajak rakyat untuk bersama mendoakan semoga proses pembentukan kerajaan baharu in dipermudahkan dan berjalan lancar demi kepentingan dan kemakmuran negara,” menurut kenyataan itu lagi.

Sementara itu, Ahmad Fadil berkata, Paduka Baginda turut mengajak rakyat untuk bersama mendoakan semoga Malaysia dirahmati dan diberkati serta dilindungi daripada sebarang bentuk bencana dan musibah.

Terdahulu, SPR memaklumkan Pakatan Harapan (PH) memenangi 76 kerusi manakala parti gabungannya DAP di Sarawak mendapat lima kerusi dan MUDA menang satu kerusi, menjadikan keseluruhan 82 kerusi Parlimen diperoleh gabungan itu.

Perikatan Nasional (PN) dan PAS pula memperoleh 73 kerusi Parlimen selepas masing-masing menang 51 dan 22 kerusi.

Sementara, Barisan Nasional (BN) memperoleh 30 kerusi diikuti Gabungan Parti Sarawak (22), Gabungan Rakyat Sabah (enam), Warisan (tiga), Parti Bangsa Malaysia (satu), KDM (satu) dan calon Bebas (dua). – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here