TERNYATA benar telahan bahawa Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) semalam antara paling sengit dan mendebarkan dalam sejarah demokrasi negara, apabila banyak keputusan mengejutkan berlaku.
Keputusan PRU15 semalam juga menyaksikan kejutan apabila ramai ‘nama-nama besar’ dalam arena politik tanah air turut kecundang di kerusi masing-masing termasuk di kerusi kubu kuat parti politik tertentu.
Antara figura politik yang tumbang termasuk Nurul Izzah Anwar, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali, Khairy Jamaluddin, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor, Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican dan Datuk Zuraida Kamarudin.
Nurul Izzah yang juga Naib Presiden PKR tewas di tangan calon Perikatan Nasional (PN) Fawwaz Md Jan yang juga Ketua Pemuda Perikatan Nasional (PN) Pulau Pinang dengan majoriti 5,272 undi.
Muhammad Fawwaz mencipta sejarah tersendiri apabila memenangi Parlimen Permatang Pauh yang merupakan kubu kuat PKR serta legasi Datuk Seri Anwar Ibrahim sejak 1982.
Khairy pula kalah kepada calon Pakatan Harapan (PH), Datuk R Ramanan di Sungai Buloh dengan majoriti 2,693 undi.
Sementara, Mohamed Azmin kalah kepada bekas anak didiknya, Datuk Amirudin Shari yang juga Menteri Besar Selangor.
Amirudin daripada Pakatan Harapan (PH) menewaskan empat pencabar lain dengan majoriti 12,729 undi.
Satu lagi kejutan apabila Tengku Adnan yang menyandang kerusi Parlimen Putrajaya sejak 2004 iaitu setahun selepas Parlimen itu diwujudkan, tewas kepada calon PN, Datuk Dr Radzi Jidin.
Apa yang lebih mengejutkan apabila gergasi politik tanah air seperti bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir turut menanggung ‘malu besar’ pada PRU15 apabila hilang deposit di Parlimen Langkawi.
Selain Dr Mahathir, anaknya Datuk Seri Muhriz Mahathir turut kehilangan wang deposit tewas kepada calon PN, Dr Abd Ghani Ahmad di kerusi Jerlun dengan majoriti 20,456 undi.
Dalam pada itu, percubaan Tengku Razaleigh Hamzah mempertahankan kerusi Parlimen Gua Musang untuk kali ke-12, gagal apabila beliau tewas mengejut kepada calon PAS, Datuk Mohd Azizi Abu Naim.
Sementara, kubu kuat BN di Padang Terap Kedah juga ‘roboh’ selepas Naib Presiden Umno, Datuk Seri Mahdzir Khalid tewas kepada calon PN, Nurul Amin dengan majoriti 10,959 undi.
Parlimen Kepala Batas juga antara yang menyaksikan kejutan terbesar dalam keputusan PRU15 semalam, yang mana kerusi yang dianggap selamat oleh BN itu berjaya dirampas calon PN, Siti Mastura.
Kekalahan Reezal Merican itu juga sekali gus menyaksikan buat pertama kalinya BN kehilangan kerusi Parlimen Kepala Batas dalam tempoh 48 tahun iaitu sejak kawasan Parlimen itu diwujudkan bermula pada 1974.
Dalam pada itu, bekas Ahli Parlimen Ampang, Datuk Zuraida Kamaruddin tewas dalam sembilan persaingan di kawasan tersebut semalam.
Malah, calon Parti Bangsa Malaysia (PBM) itu turut hilang deposit apabila hanya meraih 4,589 undi. – Malaysiapost
Nama besar tewas PRU15 ialah:
Mahdzir Khalid (BN- Padang Terap)
Tengku Zafrul Aziz (BN -Tanjong Karang
Khalid Samad (PH- Titiwangsa)
Datuk Ahmad Jazlan Yaakub (BN-Machang)
Datuk Seri Saifuddin Nasution (PH- Kulim Bandar Baharu)
Maszlee Malik (PH-Simpang Renggam)
Datuk Zuraida Kamaruddin (PBM-Ampang
Datuk Seri Reezal Meerican Naina Merican (BN-Kepala Batas)
Datuk Seri Faizal Azumu (PN-Tambun)
Datuk Dr Asraf Wajdi Dusuki (BN-Gerik)
Datuk Seri Dr Mujahid Yusof Rawa (PH-Parlimen Parit Buntar)
Datuk Seri Rina Harun (PN-Sepang)
Datuk Mahfuz Omar (PH-Pokok Sena)

