Terima kasih pengundi BN, jentera parti- Wan Rosdy

0
2

BEKAS Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail menzahirkan terima kasih kepada semua rakyat Pahang yang mengundi Barisan Nasional (BN) di negeri itu.

Beliau yang mempertahankan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Jelai kali kelima turut berterima kasih kepada jentera parti yang membantu BN Pahang sepanjang tempoh kempen dalam Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).

“Segala jasa dan keringat amat saya hargai, doa yang terbaik untuk Pahang agar terus kekal makmur,” katanya dalam kenyataan di Facebook, pagi tadi.

Wan Rosdy menang dengan majoriti 6,983 undi, menewaskan calon Perikatan Nasional (PN), Dr Abdul Rasid Mohamed (3,109 undi) manakala calon Pakatan Harapan (PH), Ismail Mohd Hussin pula hilang deposit.

Bagaimanapun, BN Pahang gagal mempertahankan kerajaan negeri selepas hanya mendapat 16 kerusi DUN.

Keputusan PRU15 awal pagi tadi juga menyaksikan buat julung kali dalam sejarah, kerajaan negeri ‘tergantung’ selepas tiada parti memperoleh majoriti mudah bagi membentuk kerajaan negeri.

Gabungan PN menang 17 kerusi, BN memperoleh 16 kerusi dan PH pula lapan kerusi.

Sementara itu, PN Pahang difahamkan akan mengadakan mesyuarat hari ini bagi memutuskan bentuk kerjasama untuk mengatasi masalah kerajaan negeri ‘tergantung’ ketika ini.

Bagaimanapun, Pesuruhjaya PAS Pahang, Rosli Abdul Jabar berkata mesyuarat itu masih belum ditentukan masanya.

“Setakat ini belum ada lagi tapi Insya-Allah yang terbaik untuk PN Pahang dan ummah,” katanya. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here