Firefly jadi pilihan syarikat penerbangan nasional jika MAS ditutup

0
2

KHAZANAH Nasional Bhd mempunyai pilihan untuk menyalur modal kepada Firefly sekali gus menjadikannya sebagai syarikat penerbangan nasional.

Ia sebagai memenuhi keperluan pengangkutan udara negara jika Malaysia Airlines terpaksa ditutup.

Pengarah Urusan Khazanah, Datuk Shahril Ridza Ridzuan, berkata buat masa ini rundingan dengan pemiutang dan pemajak pesawat masih berjalan.

Beliau berkata, Khazanah dan Malaysia Aviation Group (MAG) akan membincangkan langkah seterusnya apabila kedudukan dan hasil rundingan berkenaan menjadi lebih jelas.

“Antara pilihan alternatif yang boleh dipertimbangkan ialah, yang mana Khazanah bersedia untuk menamatkan pembiayaan untuk Malaysia Airlines dan sebaliknya, akan membiayai Firefly untuk mengembangkan operasinya bagi tujuan memenuhi ketersambungan atau “connectivity” yang diperlukan negara.

“Sekiranya dilaksanakan dengan jaya, Firefly berpotensi untuk menjadi syarikat penerbangan kebangsaan,” katanya seperti dilapor BH.

Beliau berkata demikian bagi mengulas sama ada langkah menutup operasi Malaysia Airlines termasuk dalam pilihan terbaik yang dipertimbangkan.

Shahril mengakui sekiranya jika alternatif itu menjadi kenyataan, sememangnya akan terdapat pihak berkepentingan yang mungkin terkesan.

Beliau memberi jaminan, sekiranya ia berlaku, pihaknya akan ambil langkah yang perlu untuk mengurangkan sebarang kesan negatif.

Katanya, Khazanah boleh menyokong usaha itu sama ada melalui suntikan dana ke dalam Malaysia Airlines yang distruktur semula dengan jayanya, atau membiayai Firefly untuk mengembangkan operasinya.

“Apa-apa pun, syarikat penerbangan yang dipilih mestilah mempunyai kewangan yang mampan supaya ia dapat menghasilkan pulangan.

“Sekiranya Khazanah terus membiayai Malaysia Airlines yang tidak mempunyai kedudukan kewangan yang kukuh dan sering mengalami kerugian, Khazanah akan terpaksa melupuskan pegangannya dalam aset strategik yang lain atau menambah hutang,” katanya. -Malaysiapost