Akar umbi Umno positif keputusan pertimbang keluar PN

0
1

KEPUTUSAN Mesyuarat Majlis Tertinggi (MT) Umno yang mempertimbangkan untuk menarik diri daripada Perikatan Nasional (PN) semalam, ibarat ‘two Side Of Coins’ (dua sisi berbeza tapi berkait).

Ketua Umno Bahagian Subang, Datuk Armand Azha Abu Hanifah berkata sisi pertama adalah respon majoriti kepimpinan bahagian dan akar umbi cukup positif kerana ketegasan Umno membuat keputusan.

“Kedua, respon yang kurang sedap terutama bagi non-partisan (bukan ahli parti) yang melihat sudut berbeza, Umno masih tidak memikirkan situasi utama iaitu pandemik Covid-19,” katanya menerusi Facebook.

Armand Azha berkata, beliau melihat naratif utama Umno yang berpaksikan kepentingan rakyat khususnya dalam isu kebajikan, ekonomi serta pendidikan masih tidak diberikan perhatian oleh kerajaan PN.

“Saya dan kepimpinan Umno beberapa kali nyatakan pendirian bagi lanjutan moratorium bank kepada rakyat dalam kita masih menghadapi pamdemik Covid-19 serta penyelesaian isu pendidikan sekolah rendah dan menengah bagi seluruh Malaysia.

“Sebagai pemimpin kecil Umno, saya masih letakkan ketegasan dalam pendirian awal kita semasa jadi pembangkang iaitu kes Adib, keselamatan perairan Sabah, Bantuan Prihatin Rakyat, Peguam Negara dalam kes Lim Guan Eng serta kepimpinan Pakatan, semak kembali penjualan aset-aset kerajaan, GST (cukai barang dan perkhidkatan) dan pelbagai lagi.

“Saya juga tidak setuju Ada pilihan raya dalam situasi pandemik Covid-19 serta dalam keadaan ekonomi yang belum stabil,” katanya.

Berikutan itu, katanya, Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin serta kepimpinan PN perlu mendengar suara di peringkat bawah untuk kerajaan mendalami nadi serta denyutan hati rakyat.

“Dalam situasi terkini rata-rata mahukan kestabilan serta kesejahteraan rakyat, kurangkan mainan politik tetapi lebihkan khidmat bakti kepada rakyat,” katanya. – Malaysiapost