Muhammad Mustakim Ramli
BEKAS Ahli Majlis Tertinggi (MT) Umno, Datuk Lokman Noor Adam, berharap Umno dapat meletakan syarat kepada Perikatan Nasional (PN) dengan memastikan jawatan Perdana Menteri diberikan kepada parti itu.
Beliau juga menyatakan jawatan Timbalan Perdana Menteri pula diberikan kepada Bersatu.
“Tahniah Umno! Harap antara syarat yang diletakkan ialah Umno Perdana Menteri, PPBM (Bersatu) TPM.
“Kalau tak setuju keluar aje (saja) dari Perikatan Nasional. Tak ada masalah kita jadi pembangkang hingga PRU15,” katanya menerusi hantaran di Facebooknya.
Beliau berkata demikian susulan keputusan mesyuarat Biro Politik Umno yang menyatakan hasrat untuk menarik diri daripada kerajaan PN jika syarat baharu yang dikemukakan mereka tidak dipertimbangkan.
Lokman berkata, tindakan Umno membuat pertimbangan untuk menarik diri daripada menyokong PN adalah tepat sebagai parti yang memiliki majoriti.
Katanya, langkah itu juga bersesuaian dalam menentukan hala tuju pemerintahan negara.
“Ini baru betul, yang majoriti tentukan hala tuju pemerintahan, bukan parti minoriti buli majoriti,” katanya.
Beliau seterusnya berkata tiada masalah buat Umno jika keluar PN dan tidak menyokong Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
“(Tan Sri) Muhyiddin (Yassin) tumbang, Anwar tak jadi PM dan PRU dapat diadakan sebaik Covid-19 reda. Tak lama manapun,” katanya.
Malam tadi, Umno meletakkan syarat baharu untuk meneruskan kerjasama politik dengan kerajaan PN.
Setiausaha Agungnya, Datuk Ahmad Maslan, melalui kenyataan media berkata parti itu membuat pertimbangan untuk menarik diri daripada menyokong PN.
“Umno juga akan memberikan syarat baharu melalui perjanjian bertulis kepada kerajaan PN untuk dilaksanakan secepat mungkin bagi meneruskan kerjasama politik.
“Umno akan mencadangkan kepada Jawatankuasa Pemandu Muafakat Nasional (MN) supaya MN didaftar dengan segera sebagai sebuah gabungan politik yang sah,” katanya. – Malaysiapost

