Suspek bunuh bayi mungkin pengikut ajaran sesat

0
1

POLIS tidak menolak kemungkinan suspek disyaki membunuh anaknya berusia lapan bulan di Kampung Sungai Dua, Bachok, pagi semalam ada kaitan dengan ajaran sesat.

Perkara itu dimaklumkan Ketua Polis Kelantan, Deputi Komisioner Shafien Mamat ia berdasarkan cara pembunuhan bayi lelaki berkenaan dengan badannya dilumur garam serta halusinasi dialami suspek.

Beliau berkata, suspek berusia 40 tahun itu sehingga kini masih tidak bercakap untuk diambil keterangan, sebaliknya hanya berzikir dan memaklumkan dia mendengar suara malaikat, sebelum membunuh anaknya.

“Polis turut menahan isteri suspek yang juga ibu mangsa berusia 32 tahun bagi membantu siasatan. Wanita berkenaan masih dirawat di hospital memandangkan keadaannya yang masih trauma.

“Ujian air kencing terhadap pasangan suami isteri berkenaan juga negatif,” katanya seperti dilaporkan Berita Harian.

Dalam kejadian pagi semalam, Wan Mohamad Afiq Wan Roslan ditemui mati jam 11.30 pagi dalam keadaan menyayat hati, termasuk badan dilumur garam dipercayai dibunuh bapa kandung menggunakan objek tumpul.

Mengulas lanjut, Shafien berkata, siasatan masih dijalankan dan pihaknya menunggu keputusan laporan kimia sama ada suspek mempunyai masalah mental atau sebaliknya.

“Berdasarkan laporan bedah siasat yang selesai jam 5 pagi tadi, punca kematian bayi berkenaan disebabkan kecederaan di kepala disebabkan hentakan,” katanya.

Beliau berkata, polis mendapatkan perintah tahanan reman terhadap suami isteri itu pagi ini. – Malaysiapost