PERDANA Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob yakin Barisan Nasional (BN) dapat menubuhkan kerajaan baharu malam ini.
Beliau berkata, pembentukan kerajaan itu akan disertai gabungan parti dari Sabah, Gabungan Rakyat Sabah (GRS) dan Gabungan Parti Sarawak (GPS) dari Sarawak.
“Saya harap sebab sasaran kita boleh ‘cross’ 112 (kerusi parlimen), kita boleh bentuk kerajaan, kalau sudah dapat majoriti mudah, kita akan bentuk kerajaan.
“Jika boleh dapat 112 kerusi, kita akan bentuk kerajaan malam ini,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas selesai mengundi di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Bandar Kerayong, dekat Bera, pagi tadi.
Terdahulu, Ismail Sabri bersama isteri, Datin Seri Muhaini Zainal Abidin tiba di sekolah itu jam 9.20 pagi.
Beliau dan isteri selesai mengundi kira-kira sejam kemudian, selepas beratur bersama pengundi lain.
Dalam pada itu, Ismail Sabri berkata, keputusan sama ada BN boleh membentuk kerajaan secara bersendirian atau perlu gabungan parti lain, selain dari Sabah dan Sarawak, akan diputuskan pimpinan tertinggi parti.
“Kita (BN) tidak akan meninggalkan GPS dan GRS untuk bentuk kerajaan,” katanya. – Malaysiapost

