PERIKATAN Nasional (PN) akan mengumumkan calon baharu bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Tioman dalam tempoh terdekat.
Pengerusi PN Pahang, Datuk Seri Saifuddin Abdullah, berkata beliau sudah memaklumkan kepada pucuk pimpinan tertinggi gabungan itu mengenai berita kematian calon mereka di DUN Tioman awal pagi tadi.
Jelasnya, kerusi Tioman diperuntukkan kepada PAS dan parti itu akan memilih calon daripada parti berkenaan.
“Pemilihan (calon) akan dibuat secepat mungkin, tapi bukan hari inilah sebab semua sedang sibuk mengundi,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas mengundi di Sekolah Kebangsaan Sungai Talam dekat Indera Mahkota, pagi tadi.
Saifuddin turut merakamkan ucapan takziah kepada ahli keluarga Md Yunus Ramli yang disahkan meninggal dunia jam 3.40 pagi tadi di Hospital Rompin.
Terdahulu, Pegawai pengurus pilihan raya Rompin, Ahmad Nasim Mohd Sidek mengumumkan penangguhan proses pengundian bagi kerusi DUN Tioman.
Md Yunus, 61, dilaporkan tidak sedarkan diri di kediamannya sebelum dikejarkan ke hospital Rompin bagi rawatan lanjut.
Allahyarham adalah Ketua PAS Cawangan Sungai Puteri dan Pengarah 2 Jawatankuasa Pilihan Raya Kecil DUN Tioman.
Kerusi DUN Tioman dijadualkan menyaksikan saingan lima penjuru. termasuk Allahyarham Mohd Johari Hussain (BN), Mohd Fadzli Mohd Ramly (PH), Osman A Bakar (GTA) dan Sulaiman Bakar (Bebas). – Malaysiapost

