PENGERUSI Pakatan Harapan (PH), Datuk Seri Anwar Ibrahim terpaksa memotong barisan untuk mengundi di Sekolah Kebangsaan (SK) Seri Penanti, hari ini.
Ia susulan kehadiran calon PH Parlimen Tambun itu mendapat tumpuan lebih 50 pengamal media dalam dan luar negara hingga menyebabkan kawasan tersebut sesak selain mengganggu pengundi lain yang sedang menunggu giliran.
Bagi meredakan keadaan, Ketua Polis Daerah Seberang Perai Tengah, Asisten Komisioner Tan Cheng San meminta kebenaran daripada petugas Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) untuk membolehkan Anwar mengundi dahulu.
Sebaik mendapat kebenaran untuk potong barisan, Presiden PKR itu meminta maaf kepada pengundi yang sedang berbaris atas alasan terpaksa berbuat demikian bagi memastikan keselesaan orang ramai dan kelancaran proses pengundian.
“Saya minta maaf terpaksa ke depan, kalau tidak sesak dengan wartawan di sini.
“Selepas selesai mengundi saya akan bergerak ke Tambun untuk meninjau proses pengundian dan berjumpa dengan penyokong saya di sana,”katanya.
Terdahulu, Anwar yang mengenakan baju kemeja berwarna biru muda tiba di pusat mengundi SK Seri Penanti pada jam 8.56 pagi dan selesai mengundi pada jam 9.06 pagi. – Malaysiapost

