Lesap RM136,000 selepas terima panggilan ‘pejabat pos’

0
2

SEORANG suri rumah berputih mata apabila wang simpanannya sebanyak RM136,000 lesap selepas menjadi mangsa penipuan sindiket Macau Scam, semalam.

Wanita dari Seberang Perai berusia 70-an itu mula terjerat selepas menerima panggilan daripada individu yang mendakwa dari Pejabat Pos Laju di Kuala Lumpur.

Mangsa dimaklumkan terdapat bungkusan atas namanya yang mengandungi sekeping kad pengenalan dan lapan keping kad pengeluaran wang automatik (ATM).

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara, Asisten Komisioner Noorzainy Mohd Noor, berkata panggilan berkenaan kemudian kononnya disambungkan ke Ibu Pejabat Polis Kontinjen Johor.

“Mangsa telah diberitahu oleh individu yang mendakwa inspektor polis bahawa dia terbabit kegiatan menjual akaun bank kepada seorang lelaki sebanyak RM10,000 dan telah menerima RM23 juta.

“Mangsa dimaklumkan bahawa dia adalah suspek utama dan perlu memberikan kerjasama selain tidak boleh memberitahu sesiapa memandangkan kes masih dalam siasatan,” katanya seperti dilapor Kosmo.

Noorzainy berkata, mangsa yang terlalu takut akur dengan arahan individu terbabit dan segera memasukkan wang ke dalam akaun yang diberikan suspek melalui mesin ATM.

“Dia membuat tujuh transaksi memasukkan wang ke dalam empat akaun yang keseluruhannya berjumlah RM136,000.

“Mangsa turut diberitahu wang itu hanyalah untuk semakan pihak terbabit berhubung kes yang sedang disiasat,” katanya lagi.

Noorzainy berkata, mangsa bagaimanapun menyedari dirinya telah ditipu sebelum membuat laporan polis semalam.

Kes itu disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan. – Malaysiapost