BN janjikan kestabilan untuk rakyat Malaysia

0
2

BARISAN Nasional (BN) menegaskan hanya parti itu yang boleh mengembalikan kestabilan dan kemakmuran kepada rakyat Malaysia. 

Presidennya, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi berkata, rakyat Malaysia perlu mengembalikan kestabilan yang hilang dalam tempoh lima tahun ini dengan memenangkan calon BN yang bertanding pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) di setiap kerusi Parlimen di seluruh negara. 

“Barisan Nasional menjanjikan kestabilan buat negara. Janji kita ini bersandarkan rekod kita selama ini dalam proses membuat keputusan. Barisan Nasional sentiasa berpegang kepada prinsip kolektif. Keputusan kita adalah keputusan bersama bersandarkan kepada keutamaan, kebenaran dan konsisten.

“Inilah yang diperlukan oleh negara. Inilah juga pendekatan kami selama ini, yang mampu menjamin kestabilan dapat dipelihara. 

“Kestabilan amat penting bagi Malaysia untuk menarik semula keyakinan pelabur luar, keyakinan rakyat negara sendiri, bahawa mereka mempunyai masa hadapan yang cerah,” katanya. 

Presiden Umno itu berkata demikian dalam ucapan ‘grand finale’ Perutusan Hari Mengundi di Bagan Datuk, malam ini. 

Ahmad Zahid yang akan mempertahankan kerusi Parlimen Bagan Datuk menyeru rakyat Malaysia yakin dengan kemampuan dan konsep yang diterapkan BN sekali gus memberi mandat kepada gabungan itu pada hari pengundian, esok. 

“Yakinlah, amalan yang dipratikkan dalam Barisan Nasional, tiada seorang pemimpin pun lebih tinggi daripada parti dan rakyat. 

“Dengan prinsip ini, Barisan Nasional mampu kekal teguh walaupun berhadapan dengan pelbagai halangan politik,” katanya. -Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here