Reezal Merican yakin dapat beri lebih banyak pembaharuan

0
2

SEKIRANYA diberi mandat oleh rakyat untuk menjadi Ahli Parlimen Kuala Batas dan diangkat sekali lagi membarisi Kabinet kerajaan, Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican yakin mampu membawa lebih banyak pembaharuan.

Calon Barisan Nasional (BN) Parlimen Kepala Batas itu, mengakui tempoh selama 14 bulan menerajui Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) sebagai menteri, tidak banyak yang dapat dilakukannya.

Menurutnya, beliau turut mewarisi legasi yang agak rumit di kementerian itu dengan banyak perumahan-perumahan yang terbengkalai, namun sedikit-sebanyak dapat ditanganinya.

“Antara perkara pertama saya buat bila menjadi Menteri KPKT adalah saya tubuhkan ‘war room’ perumahan. Saya wujudkan semula Majlis Perumahan Mampu Milik dipengerusikan oleh Perdana Menteri dan turut diwakili semua ketua-ketua menteri.

“Kediaman mampu milik ini adalah isu yang tidak akan pernah habis dan kita terpaksa melihat pendefinasian semula mampu milik. Ada yang mengatakan mampu milik di Kuala Lumpur, tidak semestinya mampu milik di Kinabatangan..mampu milik di Ipoh tidak semestinya mampu milik di Gerik.

“Maka salah satu yang saya buat adalah memperkenalkan indeks harga rumah mampu milik untuk memastikan rumah mampu milik ini benar-benar mampu milik,” katanya ketika ditemui Malaysiapost baru-baru ini.

Reezal Merican yang juga Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) Umno berkata, beliau turut mewujudkan i-Biaya bagi mengatasi masalah mereka yang ingin memiliki rumah namun tiada penyata gaji.

“Dengan adanya Skim Jaminan Kemudahan Perumahan (SJKP) sebanyak RM3 bilion. SJKP tampil untuk menjadi penjamin kepada pembeli rumah yang tiada slip gaji.

“Saya turut mengusahakan pindaan-pindaan tertentu dalam Akta 118 Akta Pemajuan Perumahan untuk dilihat secara lebih dinamik agar kedua-dua pihak iaitu pemaju dan pembeli terjamin,” katanya.

Beliau berkata, hala tuju Projek Perumahan Rakyat (PPR) turut ditingkatkan antaranya jika dahulu keluasan PPR hanya 600 kaki persegi, kini ditambah ke 750 kaki persegi.

“Pemilikannya pula dahulu RM3,000 sekarang saya naikkan sampai RM5,000 supaya dapat perluaskan pemilikan PPR kerana gaji RM5,000 masih lagi B40 dan bukan mudah untuk mereka memiliki rumah.

“Semua PPR perlu berorientasikan tahap daya huni yang tinggi termasuk capaian internet kerana tiada gunanya beri rumah rendah tetapi tiada kemudahan asas seperti internet yang kini adalah keperluan asas ketiga penting selepas air dan elektrik.

“Saya juga permudahkan pemilikan tanah untuk PPR daripada kerajaan negeri,” katanya.

Reezal Merican berkata, antara perancangannya yang belum dapat dilaksanakan di KPKT adalah Pelan Transformasi Pasar Malam bagi merubah pasar-pasar malam sedia ada yang dilihat ‘selekeh’ dan perlu satu imej pembaharuan yang lebih segar.

“Pihak berkuasa tempatan (PBT) akan diberi dana untuk memperkasakan wajah-wajah pasar malam, kerana kita sudah menuju ke arah negara maju dan kita mahu pasar-pasar malamnya menjadi lebih tersusun, teratur, bersih dan paling penting pengurusannya lebih lestari

“Itulah sedikit sebanyak apa yang saya sudah lakukan dalam tempoh 14 bulan saya berkhidmat sebagai menteri. Kalau beri lebih peluang lagi lebih banyak saya akan buat,” katanya. – Malaysiapost

Kredit Foto: Facebook Reezal Merican

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here