Selamatkanlah Umno daripada diharamkan – Ahmad Zahid

0
2

HANYA kemenangan besar Barisan Nasional (BN) pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15) mampu menyelamatkan Umno daripada percubaan untuk dibubarkan buat kali kedua sejak tahun 2018.

Pengerusi BN yang juga Presiden Umno Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, merayu agar Umno diselamatkan daripada cubaan untuk diharamkan oleh Tan Sri Muhyiddin Yassin dan Tun Dr Mahathir Mohamad serta sekutunya.

Menurutnya, satu undi kepada Presiden Bersatu dan Pengerusi Penaja Gerakan Tanah Air (GTA) serta sekutu mereka adalah satu undi untuk percubaan mengharamkan Umno selepas pilihan raya ini.

“Selepas Bersatu membentuk kerajaan Pakatan Harapan (PH), salah satu langkah utama pemimpin utama Bersatu, Muhyiddin dan Dr Mahathir cuba mengharamkan parti Umno.

“Tindakan ini dilakukan untuk menghapuskan pengaruh akar umbi dan kedudukan parti berteraskan Melayu supaya parti Bersatu boleh mengambil peranan dan menguasai undi Melayu,” katanya dalam satu hantaran di Facebook, hari ini.

Beliau berkata, Dr Mahathir sendiri memintanya untuk membubarkan Umno dan membawa kesemua ahli Umno dan Ahli Parlimen parti itu menyertai Bersatu secara besar-besaran.

Ahmad Zahid mendakwa, Muhiyiddin yang kini Pengerusi Perikatan Nasional (PN) juga sangat berdendam dengan Umno yang dipimpinnya.

“Apabila saya menolak dan tidak mahu memenuhi permintaan tersebut saya terus dikenakan pendakwaan terpilih.

“Saya juga diaibkan, diperlekehkan malah dilabelkan sebagai kluster mahkamah secara berulang-ulang diberikan persepsi tersebut selama bertahun-tahun,” katanya.

Menurutnya, apabila beliau didapati tidak bersalah pertuduhan 40 kes perbicaraan oleh Mahkamah Tinggi tidak pula mereka yang mengaibkannya meminta maaf, malah terus cuba mengaibkan beliau sekeluarga dan kerjaya politiknya.

“Memang harga memperjuangkan dan mempertahankan UMNO sangat tinggi untuk ditanggung oleh saya sekeluarga.

“Akan tetapi demi maruah dan harga diri Umno maka marilah kita seluruh ahli dan pendukung BN menegakkan kebenaran menuju sebuah negara hukum yang berdaulat,” katanya.

Beliau turut mengingatkan mengenai kenyataan Muhyiddin bahawa Umno akan ‘dihanyutkan’ di dalam Sungai Muar, agar parti itu tidak terus diperlekeh.

“Selagi watak tersebut berada di PN, GTA dan juga di PH selagi itulah Umno dalam bahaya besar.

“Selamatkanlah Umno, undilah BN demi mempertahankan maruah dan harga diri Umno daripada diaibkan, diperkotak-katik dan diperlekeh oleh musuh BN,” katanya. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here