BARISAN Nasional (BN) akan menang Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) sekali gus Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob sekali lagi bakal dilantik sebagai Perdana Menteri.
Ramalan itu dibuat Bahagian penyelidikan dan analisis Economist Group di United Kingdom, namun ia tidak pasti sama ada Ismail Sabri Yaakob akan mengetuai kerajaan sepenggal penuh.
Menurut Unit Perisikan Ekonomi (EIU), walaupun BN akan membentuk kerajaan, ia tidak akan memenangi cukup kerusi untuk majoriti dua pertiga di Dewan Rakyat.
“EIU menjangka Ismail Sabri akan dilantik semula sebagai Perdana Menteri. Namun keupayaannya untuk berkhidmat selama lima tahun penuh belum terjamin,” kata pakar ekonomi utama EIU, Fung Siu dalam kenyataan, lapor portal FMT.
Fung berkata, Ismail Sabri akan diminta berundur untuk memberi laluan kepada Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi jika tuduhan terhadap presiden Umno itu digugurkan.
Ahmad Zahid sedang dibicarakan atas 47 tuduhan pengubahan wang haram dan pecah amanah membabitkan jutaan ringgit dana Yayasan Akalbudi serta menerima rasuah untuk pelbagai projek semasa menjadi Menteri Dalam Negeri.
Perbicaraan beliau ditetapkan untuk disambung semula pada Januari.
Sementara itu Fung berkata, penurunan umur mengundi daripada 21 kepada 18 tahun menerusi inisiatif Undi18 mungkin tidak mengubah corak pengundian meluas.
Katanya, pengundi akan kembali kepada keutamaan berasaskan kaum.
“Ini berkemungkinan akan mendorong pembentukan kerajaan campuran lain yang terdiri daripada BN dan parti-parti kecil yang majmuk,” katanya. – Malaysiapost

