
MAJLIS Gereja-Gereja Malaysia membidas kenyataan Tan Sri Muhyiddin Yassin yang menuduh penganut Kristian bekerjasama dengan sekumpulan Yahudi untuk mempromosi agama itu dan memurtadkan umat Islam di negara ini
Setiausaha Agungnya, Jonathan Jesudas berkata kenyataan dikeluarkan Pengerusi Perikatan Nasional (PN) itu tidak benar dan tidak bertanggungjawab.
“Kita hidup di negara berbilang agama dan kaum maka sensitiviti setiap masyarakat perlu diambil kira semasa berucap di forum awam.
“Kenyataan dilafazkan (Muhyiddin) secara sembarangan di tempat terbuka boleh menimbulkan ketegangan dan persengketaan kaum dan agama.
“Pihak berkuasa perlu menangani perkara ini bagi memastikan kenyataan palsu dan menyentuh sensitiviti pelbagai agama tidak diulangi.
“Perkara sebegini juga tidak harus dibernarkan,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Terdahulu, satu klip video berdurasi seminit 44 saat tular di media sosial memaparkan Muhyiddin memberitahu penonton supaya tidak memilih Barisan Nasional dan Pakatan Harapan (PH) dalam pilihan raya esok.
Muhyiddin berkata, PH adalah parti yang bahaya kerana beliau pernah terjumpa video mengenai sekumpulan orang Yahudi bercakap tentang Malaysia.
Beliau yang juga calon PN Parlimen Pagoh itu mendakwa, kumpulan berkenaan berdoa supaya Malaysia jatuh ke tangan pembangkang yang menaja Yahudi dan Kristian.
Bekas Perdana Menteri itu mendakwa ada orang Islam pergi gereja di Kuala Lumpur dan Petaling Jaya dan telah berlaku proses Kristianiasi di negara ini. – Malaysiapost
