Kanak-kanak tular RM5 disahkan asnaf fakir LZS

0
2

KANAK-kanak yang tular meminta RM5 untuk membeli nasi goreng baru-baru ini, adalah dari keluarga asnaf fakir yang dibantu Lembaga Zakat Selangor (LZS).

LZS menerusi kenyataan berkata, pihaknya menerima aduan menerusi hantaran Facebook orang awam mengenai seorang kanak-kanak yang meminta duit untuk membeli nasi goreng.

“Kisah tersebut telah tular dan mendapat reaksi simpati warganet,” katanya.

Berikutan itu, LZS menerusi Penolong Amil Kariah kawasan Pandamaran di Klang, Ustaz Muhd Syafiq mengesahkan beliau sangat mengenali kanak-kanak itu dan keluarganya.

Menurut kenyataan itu, mereka merupakan asnaf fakir yang dibantu oleh LZS sejak sekian lama.

“Keluarga ini menerima bantuan kewangan dan makanan secara bulanan yang dihantar terus ke rumahnya, selain bantuan sewa rumah, hari raya tahunan dan persekolahan anak-anak.

“Pihak kami telah bertemu ibunya sebentar tadi (semalam) dan dia juga maklum bahawa bukan seorang tetapi beberapa anaknya kerap berkeliaran sekitar kawasan tersebut dan meminta wang dari orang awam. Keluarga ini mempunyai 11 anak dan seorang cucu,” katanya.

Menurut kenyataan itu, bantuan yang diberikan adalah pada kadar maksimum yang disediakan oleh LZS.

“Justeru, Pihak Amil Kariah dan Masjid kawasan tersebut menasihati agar ketua keluarga mengambil peranan dan tanggungjawab menjaga serta mengawasi anak-anaknya.

“Jika dibiarkan boleh mendatangkan fitnah dan juga masalah sosial di kemudian hari,” katanya.

Orang awam dinasihati agar dapat merujuk pada LZS di kariah masing-masing terlebih dahulu untuk semakan.

Kata LZS, tidak salah membantu, malah mereka juga amat berbesar hati dan mengalakkan orang ramai membantu.

“Namun selidik dahulu kesahihan sesuatu berita kerana dikhuatiri apa yang kita ambil tanpa kebenaran boleh menjadi fitnah dan masalah pada sesebuah keluarga.

“Contohnya kes ini, tindakan boleh diambil pada keluarga di bawah Akta Kanak-kanak 2001 (pengabaian kanak-kanak) oleh pihak berkuasa seperti Jabatan Kebajikan Masyarakat,” katanya.

LZS menghargai usaha pemilik hantaran Facebook tersebut yang tidak menyalahkan mana-mana pihak, serta mengajak orang ramai membudayakan sikap saling bantu membantu.

“Semoga Allah memberkati anda semua dan pemilik Facebook tersebut dalam usahanya membantu golongan yang kurang bernasib baik,” katanya. – Malaysiapost