Rakyat beri reaksi positif, Zuraida yakin pertahan Parlimen Ampang 

0
3

DATUK Zuraida Kamaruddin yakin akan dapat mempertahankan kerusi Parlimen Ampang yang disandangnya sejak tahun 2008 pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15). 

Presiden Parti Bangsa Malaysia (PBM) itu berkata keyakinan tersebut adalah berdasarkan maklum balas daripada rakyat di kawasan Parlimen Ampang yang ditemuinya. 

“Keyakinan berhati-hati saya ini adalah berdasarkan laporan diterima dari kawasan-kawasan yang saya telah berkempen sejak 5 November lalu. 

“Ramai pengundi telah keluar berjumpa saya dan mereka juga menyatakan penghargaan ke atas kerja saya di kawasan itu sejak 2008. 

“Ke mana-mana sahaja saya pergi, ramai secara terbuka berikrar mereka akan undi saya. Mereka mengiktiraf sumbangan saya di kawasan itu, seperti mengurangkan kesusahan dialami penduduk miskin bandar, menangani isu lalu lintas dan menyelesaikan masalah banijir,” katanya. 

Zuraida memberi contoh, beliau memperuntukkan RM247,000 untuk program kesihatan komunal seperti menyediakan 4,500 tong sampah, RM1.65 juta untuk mengecat semula Pangsapuri Taman Cahaya dan Taman Ukay Indah serta RM1.2 juta untuk menaik taraf pelbagai kemudahan sukan di Ampang. 

Katanya, beliau juga telah bersama penduduk dengan melibatkan diri secara aktif dalam memastikan pembinaan Sekolah Kebangsaan (SK) Ukay Sungai Sering di Bukit Antarabangsa yang dijangka siap sepenuhnya pada penghujung 2025. 

“Ramai juga telah berkata mereka akan mengundi saya kerana menghargai kerja saya sebagai Menteri di Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan, dan Kementerian Perusahaan Perladangan dan Komoditi. 

“Pengundi wanita juga menyokong usaha saya untuk meningkatkan pemerkasaan wanita, termasuk sebagai presiden Majlis Pemimpin Politik Wanita Malaysia (COMWEL),” katanya lagi. 

Walaupun begitu, menurut Zuraida, pihak lawan mungkin akan menggunakan taktik kotor untuk menafikan kemenangannya. 

Ini kerana katanya, kebelakangan ini terdapat taktik yang tidak sihat mula menyelinap ke Ampang, termasuk merosakkan bahan kempennya dan serangan di alam siber. 

“Saya mahu bersedia sekiranya ada pihak lawan cuba mempertingkatkan taktik sedemikian. 

“Bagi kempen keseluruhan, maklum balas dari lapangan menunjukkan ramai pengundi cukup menerima PBM dan sudah bosan dengan politik lama. 

“Saya juga menyeru pengundi yang belum membuat keputusan di kawasan di mana PBM meletakkan calonnya, untuk menyokong parti ini. 

Negara ini memerlukan Tetapan Semula Kebangsaan (National Reset) dan PBM akan dapat menawarkannya,” katanya. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here