PERSEPSI bahawa orang bukan Melayu akan terus menyokong Pakatan Harapan (PH) perlu dipecahkan pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) ini, kata Datuk Wan Saiful Wan Jan.
Ketua Penerangan Bersatu itu meminta pengundi memecahkan pandangan stereotaip itu terhadap komuniti bukan Melayu.
“Malam tadi di Tasek Gelugor saya memberi ucapan kepada himpunan komuniti pelbagai bangsa.
“Komuniti bukan Melayu sering dituduh sebagai komuniti yang akan terus menyokong PH. Itu stereotype yang sudah lama disebarkan. Esok kita mesti pecahkan stereotaip ini,” katanya dalam hantaran Facebook hari ini.
Wan Saiful yang juga calon Perikatan Nasional (PN) Parlimen Tasek Gelugor berkata, pada hari mengundi esok rakyat mesti buktikan boleh menilai apa yang baik untuk negara.
“Esok kita harus buktikan bahawa rakyat Malaysia tak kira bangsa atau agama boleh membuat pilihan yang rasional dengan menilai apa yang terbaik untuk negara.
“Kerana yang sebenarnya komuniti Cina, India, Melayu, dan semuanya mahukan kerajaan yang baik, bersih, berintegriti, dan prihatin rakyat.
“Pilihan yang ada hanya satu, iaitu Perikatan Nasional,” katanya. – Malaysiapost
Parlimen Tasek Gelugor menyaksikan pertarungan lima penjuru antara Wan Saiful (PN) dengan Datuk Muhamad Yusoff Mohd Noor (Barisan Nasional), Nik Abdul Razak Nik Md Ridzuan (PH), Mohamad Akmal Azhar (Warisan) dan Datuk Dr Abdul Halim Sher Jung (Pejuang). – Malaysiapost
Kredit Foto: Facebook Wan Saiful Wan Jan

