Usah terpedaya kononnya PN bersih – Ahmad Zahid

0
3

PENGERUSI Barisan Nasional (BN) Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi menasihati pengundi Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15) usah terpedaya dengan persepsi kononnya Perikatan Nasional (PN) sebuah gabungan yang bersih dan stabil.

Beliau berkata, sebahagian PN adalah daripada Pakatan Harapan (PH) kerana Bersatu daripada origin politik yang sama.

“Sedangkan sebahagian pemimpin PN ialah ‘katak-katak politik’ PPBM@Bersatu yang mengkhianati mandat rakyat pada PRU-14.

“Tergamak membelot undi rakyat khususnya pengundi BN untuk bersekongkol dengan penzalim bagi mengelak dikenakan pendakwaan politik.

“Selamba bersubahat selama 22 bulan bersama PH/DAP meranapkan kestabilan serta kemakmuran negara,” katanya dalam hantaran Facebook semalam.

Ahmad Zahid berkata, hanya selepas Bersatu menyedari akan hilang sokongan rakyat terutamanya pengundi Melayu maka parti itu meninggalkan PH.

Katanya, situasi tersebut bermula selepas Bersatu kalah teruk pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Semenyih dan PRK Tanjung Piai.

Tambah beliau, Bersatu juga licik memperdaya PAS memecah belahkan Muafakat Nasional (MN) yang dimeterai pada 2019.

“Membentuk PN dan mendesak Umno menyertainya atas alasan ummah untuk mengambil kesempatan menamatkan Umno. Syukur alhamdulillah pemimpin Umno yang setia berjaya menyelamatkan parti terbesar Melayu itu daripada tergadai.

“Justeru, pengundi PRU15 terutama pengundi Melayu usah terpedaya dengan naratif PN bersih dan stabil,” ujarnya lagi.

Ahmad Zahid yang merupakan Presiden Umno berkata dalam PN berlindungnya pemimpin-pemimpin terpalit kontroversi skandal penyelewengan hinggalah “semburit”.

Katanya lagi, malah PN bersembunyi disebalik imej parti sekutu yang mendakwa ‘Islamik’ namun tidak sedar mereka dipergunakan.

Sehubungan itu, beliau meminta pengundi jangan membuat kesilapan kedua kerana terpedaya dengan watak berbeza dimainkan oleh ‘pelakon’ yang sama.

“Mengundi PN bukan bermakna anda mengundi parti yang mendakwa Islamik, tetapi lebih mengundi PPBM@Bersatu.

“Demi kestabilan dan kemakmuran undilah BN yang mungkin tidak sangat sempurna, tetapi ia sebuah parti khidmat. BN telah berjaya memulangkan semula mandat kepada rakyat untuk membuat penentuan pada 19 November ini.

“Usahlah disia-siakan peluang yang hanya datang sekali dalam tempoh beberapa tahun itu. Yakini BN Undi BN,” katanya. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here